comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jabatan Perangkaan Tambah Baik Data Inflasi

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bercadang mengeluarkan statistik perbelanjaan dan kadar inflasi yang komprehensif dengan mengambil kira peringkat umur tertentu bagi menyediakan dapatan lebih terperinci.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pendekatan yang digunakan ketika ini hanya menggunakan had pendapatan tertentu untuk menilai pola perbelanjaan yang memiliki hubungan kait dengan penetapan kadar inflasi di peringkat nasional atau negeri.

“DOSM berhasrat untuk mengeluarkan statistik lebih menyeluruh dengan mengambil kira corak perbelanjaan warga tua dan muda bagi mendapatkan angka kadar inflasi yang lebih terperinci. Kami akan buat pengiraan mengikut had umur kerana corak perbelanjaan warga tua berbeza dengan golongan muda.

“Sebagai contoh, ketika ini kami menggunakan had pendapatan RM3,000 ke bawah. Dengan menggunakan pendekatan lebih komprehensif, ia akan menghasilkan data yang lebih baik.

“Ia boleh dilaksanakan dengan menggunakan metadologi tertentu,” katanya kepada media sempena sambutan Hari Statistik Negara (HSN) dan Sambutan Sedekad Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) secara maya, hari ini.

Mengenai HSN, Mohd Uzir berkata, sambutan sejak 2017 adalah untuk meningkatkan kepentingan statistik sebagai asas kemakmuran kehidupan bermasyarakat dan negara.

Katanya, HSN dilihat dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan komuniti tentang kepentingan statistik negara.

“Ia disambut untuk mengiktiraf sumbangan ahli statistik di Malaysia terutama dalam pengurusan statistik rasmi berdasarkan asas perkhidmatan, integriti dan profesionalisme.

“Ia juga dapat memperkukuhkan lagi kerjasama dengan pihak berkepentingan khususnya bagi proses pengumpulan data,” katanya.

Beliau berkata, impak HSN adalah dapat mendekatkan DOSM sebagai agensi pusat hab data statistik dengan fokus memberi kesedaran dan kefahaman tentang statistik kepada masyarakat sama ada agensi kerajaan, swasta dan awam.

“Statistik digunakan untuk membuat keputusan berasaskan bukti. Dengan statistik yang berkualiti yang dijana oleh DOSM, kerajaan dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini