comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jawatan kosong diiklan dalam talian meningkat 29.5 peratus

PUTRAJAYA: Bilangan kekosongan jawatan diiklankan dalam talian merekodkan peningkatan sebanyak 29.5 peratus dengan 338,305 kekosongan pada suku ketiga 2023, berbanding 261,231 kekosongan pada suku sama 2022.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pada suku dikaji, terdapat sebanyak 77,499 pertubuhan yang menawarkan kekosongan jawatan berbanding 70,571 pertubuhan yang direkodkan pada suku kedua 2023.

Berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, bilangan kekosongan jawatan mencatatkan pertumbuhan dua angka iaitu 77.9 peratus berbanding 29.3 peratus pada suku kedua 2023.

Perincian secara bulanan menunjukkan majoriti kekosongan jawatan telah diiklankan pada September 2023 dengan 136,180 kekosongan merangkumi sumbangan sebanyak 40.3 peratus pada suku ketiga 2023.

“Sementara itu, terdapat 107,183 dan 94,942 kekosongan masing-masing pada Julai dan Ogos 2023,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut mengenai analisis data raya ini, Mohd Uzir berkata, bagi kekosongan jawatan diiklankan dalam talian mengikut kategori pekerjaan, profesional menunjukkan sumbangan terbesar pada suku tahun berkenaan dengan 48.6 peratus atau 164,411 kekosongan.

Katanya, ini diikuti oleh 18.5 peratus (62,628 kekosongan) bagi kategori juruteknik dan profesional bersekutu manakala pengurus menyumbang 15.7 peratus (53,156 kekosongan).

“Pecahan selanjutnya mengikut pekerjaan popular pada suku tahun berkenaan, terdapat permintaan yang lebih tinggi untuk profesional pengiklanan dan pemasaran, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif, profesional bersekutu pentadbiran, akauntan dan juruaudit, serta profesional pentadbiran,” katanya.

Dalam sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata perkhidmatan meliputi lebih dua pertiga daripada kekosongan jawatan diiklankan dalam talian dengan 204,240 kekosongan atau 60.4 peratus pada suku ketiga 2023.

Beliau berkata, melihat kepada kekosongan jawatan mengikut aktiviti ekonomi, perdagangan borong dan runcit menguasai kekosongan dengan 19.8 peratus atau 66,931 pekerjaan.

Katanya, sektor pembuatan merekodkan sejumlah 33,015 kekosongan (9.8 peratus), diikuti oleha aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan sebanyak 29,179 kekosongan (8.6 peratus) dan aktiviti profesional, saintifik dan teknikal dengan 22,248 kekosongan (6.6 peratus).

“Pekerjaan popular yang ditawarkan dalam kategori Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ialah pekerjaan profesional pengiklanan dan pemasaran yang mencatatkan bilangan kekosongan jawatan tertinggi (26,247), diikuti oleh profesional bersekutu pentadbiran (16,369) dan profesional pentadbiran (11,078).

“Bagi kategori Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), tiga pekerjaan utama ialah pengurus projek (3,308), juruteknik (3,067) dan jurutera perisian (2,424).

“Sementara itu, pekerjaan dengan permintaan tertinggi bagi Senarai Pekerjaan Kritikal (COL) ialah profesional pengiklanan dan pemasaran (26,247), Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif (18,081) serta akauntan dan juruaudit (14,044),” katanya.

Mengenai kekosongan jawatan diiklankan dalam talian di peringkat negeri, kesemua 16 negeri menunjukkan peningkatan kekosongan berbanding suku kedua 2023.

Kuala Lumpur mencatatkan kekosongan jawatan tertinggi iaitu 89,335 atau 26.4 peratus, pada masa yang sama, negeri lain yang mempunyai kekosongan jawatan yang tinggi ialah Selangor dengan merekodkan 28,649 (8.5 peratus), diikuti Johor sebanyak 17,326 (5.1 peratus).

Dari segi kemahiran, elemen ini memainkan peranan penting dalam pasaran buruh berikutan ia membolehkan individu meningkatkan peluang kerjaya dan memenuhi kehendak majikan.

Kemahiran yang diperlukan meliputi kemahiran insani seperti Bahasa Inggeris, komunikasi, Bahasa Malaysia, perancangan dan pemasaran serta kemahiran teknikal seperti Mandarin, analisis, Microsoft Office, pengurusan projek dan pemfailan.

Loading...
Terkini