KUALA LUMPUR: ZUS Coffee, jenama rangkaian kopi tempatan yang sedang pantas berkembang merancang untuk membuka sehingga enam cawangan baharu di Filipina menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Operasinya, Venon Tian, berkata cawangan pertama bakal dibuka di Manila, Filipina pada bulan ini dengan baki yang lain akan turut dibuka di bandar yang sama.
Katanya, ZUS Coffee bercadang untuk lebih agresif pada tahun depan dengan membuka lebih banyak cawangan, namun ia bergantung kepada prestasi yang ditunjukkan pada suku akan datang.
“Kami memilih Filipina sebagai negara luar pertama untuk melebarkan sayap kerana ia adalah negara kedua paling besar atau paling pantas berkembang selepas Vietnam.
“Di Indonesia sudah terlalu banyak jenama di sana dan kita tidak mahu masuk dan kemudian ‘berperang’ dengan jenama lain. Begitu juga dengan Thailand dan Vietnam yang sudah mempunyai rangkaian kopi tempatan sendiri.
“Jadi, Filipina adalah pasaran yang masih belum ditembusi dan masih tiada pemenang sebenar. Selain itu, populasi bandar raya Manila yang besar dengan menyamai populasi Malaysia sendiri serta pelaburan hartawan Filipina, Frank (Lao) ke dalam syarikat kami menjadikan peluang untuk berkembang di Filipina lebih mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas majlis pelancaran kempen Kampung Buatan Malaysia di sini, hari ini.