comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jland tawar lebih 1,000 unit hartanah baharu dengan NPK RM649.6 juta

Sebanyak 725 unit hartanah baharu bernilai lebih RM502.8 juta akan dilancarkan di Bandar Dato Onn, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU: Johor Land Bhd (JLand), cabang pembangunan hartanah dan anak syarikat milik penuh JLand Group, akan melancarkan lebih 1,000 unit hartanah baharu dengan nilai pembangunan kasar (NPK) RM649.6 juta pada tahun ini.

Pengarah Bertanggungjawab JLand (Director-In-Charge) Zamri Yusof berkata, sebanyak 725 unit hartanah baharu bernilai lebih RM502.8 juta akan dilancarkan di Bandar Dato Onn, Johor Bahru manakala 188 unit (RM88.6 juta) di Bandar Tiram dan 120 unit (RM65.5 juta) di Taman Mutiara Gading, Batu Pahat.

“Sebagai membuka lembaran baharu di tahun 2023, kami menawarkan hartanah kediaman yang inovatif dan lestari dengan pelancaran 156 unit rumah teres dua tingkat di Fasa 2, Perjiranan 8, Bandar Dato Onn, Johor Bahru dengan nilai NPK RM112 juta.

“Harga yang ditawarkan bermula daripada RM656,200 untuk lot Bumiputera jenis Areca 1 (saiz tanah 20’x70’) manakala Canna 1 dan 2 (saiz tanah 24’x70’) masing-masing ditawarkan pada harga RM772,480 dan RM780,130.

Kami percaya, kediaman yang dibina ini menepati piawaian yang memberi manfaat kepada penghuninya,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata Perjiranan 8 Bandar Dato Onn merupakan pembangunan hartanah bercampur jenis kediaman dan komersial ke-10 yang dibangunkan oleh JLand di atas tanah seluas 62.3 ekar dengan NPK lebih RM500 juta.

Menurutnya, pembangunan tersebut meliputi empat fasa pembangunan yang mana Fasa 1 mempunyai 200 unit rumah kediaman teres dua tingkat yang telah dilancarkan pada September 2021 dan telah habis dijual.

Beliau berkata lokasi Perjiranan 8 yang terletak berhampiran AEON Mall Bandar Dato Onn, pusat komersial Perjiranan 4 dan hab makanan Tebing akan menjadikan pembangunan ini sebagai destinasi pilihan pembeli.

Selain itu, kedudukan strategik Bandar Dato Onn yang terletak di tengah-tengah kepesatan pembangunan Wilayah Iskandar Malaysia serta infrastruktur dan persekitaran mampan, turut mewujudkan ekosistem yang sihat yang mampu memenuhi keperluan ekonomi dan kehendak budaya masyarakat yang merangkumi gaya hidup, bekerja, bermain dan juga pelaburan,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini