comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Johari saran pembentukan kluster ladang pekebun kecil, tingkatkan pengeluaran

Datuk Seri Johari semasa memberi ucaptama di POC2024 hari ini. – Foto: NSTP

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyarankan pembentukan kluster ladang pekebun kecil untuk meningkatkan pengeluaran minyak kelapa sawit negara.

Ini dengan menyatukan sekitar 214, 680 pekebun kecil yang memiliki 822,073 hektar, dalam kluster-kluster sekitar 8,000 hingga 10,000 hektar. Kluster ini akan diuruskan seperti ladang sederhana atau besar oleh pasukan khusus.

“Jika kita dapat menyatukan walaupun 30 peratus daripada pekebun kecil, kita akan mempunyai tambahan 250,000 hektar tanah untuk diuruskan dengan cekap tanpa sebarang penebangan hutan lagi,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan dan Pameran Prospek Harga Minyak Sawit dan Laurik (POC2024) kali ke-35 hari ini.

Kadar penanaman semula antara 2014 dan 2023 juga kekal rendah, pada 1.8 peratus setahun. Mengikut amalan terbaik industri, empat hingga lima peratus pokok kelapa sawit perlu ditanam semula setiap tahun.

Jika tidak, lebih 560,000 hektar pokok kelapa sawit akan berusia lebih 25 tahun menjelang 2027 dan ini akan menyebabkan pengeluaran yang lebih rendah pada masa hadapan.

Tambah beliau, 1.5 juta hektar daripada 5.7 juta hektar kawasan penanaman kelapa sawit, diuruskan oleh pekebun kecil.

Jika semua pekebun kecil mengadaptasi pengurusan baik dalam ladang berskala besar, hasil buah tandan segar boleh meningkat dua tan untuk satu hektar.

Pengeluaran minyak sawit mentah juga dapat ditingkatkan dengan tambahan 600,000 tan setahun, sekitar RM2.4 bilion.

“Belanjawan lalu kita ada hanya RM100 juta, itu hanya boleh mengambil 5,900 hektar. Jadi kita melihat, bagaimana kita membantu mereka? Ini dengan menyatukan, daripada (purata) 4 hektar (diuruskan pekebun kecil), kita kumpulkan semuanya menjadi mungkin 8,000 atau 10,000 hektar.

“Ia tidak mudah untuk dilaksana. Tetapi kita perlu bermula di sesuatu tempat. Jika tidak, terdapat banyak pokok lama, tiada siapa yang mengendalikannya dan kemudian pengeluaran seluruh negara akan berkurangan,” jelas beliau kepada media apabila ditemui di POC2024.

Untuk itu, cara pragmatik pekebun kecil menanam semula pada tepat waktu adalah memastikan hasil maksimum berterusan. Ini dengan memanfaatkan kepakaran teknikal pemain industri dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) meliputi benih, klon, baja, serta pengurusan perosak dan penyakit.

Loading...
Terkini