comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Johor Plantations Group lancar IPO terbesar setakat tahun ini

Ismail (tengah) dan Mohd Faris (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran prospektus JPG di Kuala Lumpur, hari ini -Foto ihsan JPG

KUALA LUMPUR: Syarikat perladangan kelapa sawit huluan, Johor Plantations Group Bhd (JPG) dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM2.1 bilion selepas penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd pada 9 Julai ini.

Ia sekali gus menjadikan tawaran awam permulaan (IPO) JPG adalah yang terbesar di Bursa Malaysia setakat tahun ini.

Pengarah Urusan JPG, Mohd Faris Adli Shukery berkata, JPG menyasarkan untuk mengumpul RM735 juta daripada penyenaraiannya itu dengan jumlah hasil yang diraih daripada IPO sebanyak RM389.8 juta akan diperoleh melalui terbitan awam 464 juta saham biasa baharu, manakala RM345.2 juta akan diperoleh melalui tawaran untuk penjualan 411 juta saham sedia ada pada harga IPO sebanyak 84 sen sesaham.

Beliau berkata, 50.5 peratus daripada jumlah hasil yang akan diperoleh daripada terbitan awam diperuntukkan untuk pembinaan kompleks minyak sawit lestari bersepadu dan aktiviti penanaman semula.

Katanya, 43 peratus lagi akan disalurkan untuk membayar balik pinjaman bank dan 1.7 peratus untuk modal kerja, manakala baki akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

“Sepanjang tahun, JPG telah berkembang daripada permulaan yang sederhana kepada kehadiran yang ketara dalam industri minyak sawit. Memandangkan JPG terus memenuhi keperluan pihak berkepentingan, kami mempunyai beberapa inisiatif dalam perancangan yang direka untuk meningkatkan daya saing.

“Ini adalah fokus kepada meningkatkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dan berkembang melalui perniagaan hiliran. Kami berhasrat untuk mempelbagaikan perniagaan bagi memenuhi aspirasi pertumbuhan masa hadapan.

“Ia termasuklah menjadi pengeluar minyak sawit bersepadu sepenuhnya melalui usaha kami ke dalam segmen hiliran, yang memberi tumpuan kepada minyak dan lemak khusus. IPO adalah langkah strategik yang akan membuka potensi penuh kami dan memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan,” katanya selepas pelancaran prospektus JPG di sini, hari ini.

Majlis dilancarkan oleh Pengerusi JPG, Tan Sri Dr Ismail Bakar.

Mohd Faris berkata, JPG ketika ini berada dalam fasa pertama untuk bergerak ke arah perniagaan segmen hiliran melalui projek usaha sama dengan Fuji Oil Asia Pte Ltd.

Beliau berkata, melalui segmen hiliran, separuh daripada bahan mentah yang dihasilkan JPG akan dipindahkan ke kilang penapisan yang dicadangkan melalui pembinaan kompleks minyak sawit lestari bersepadu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini