comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Johor Plantations ke Pasaran Utama Bursa Malaysia pada suku ketiga

KUALA LUMPUR: Johor Plantations Group Bhd menyasarkan untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia menjelang suku ketiga 2024.

Oleh itu, syarikat perladangan kelapa sawit huluan dari Johor itu telah memeterai perjanjian taja jamin dengan RHB Investment Bank Bhd, AmInvestment Bank Bhd, CIMB Investment Bank Bhd dan Affin Hwang Investment Bank Bhd untuk tawaran awam permulaannya (IPO).

IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 464.0 juta saham baharu serta tawaran penjualan sehingga 411.0 juta saham sedia ada dalam syarikat berkenaan, kata Johor Plantations dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada jumlah itu, 485 juta saham akan disediakan kepada rakyat Malaysia serta institusi asing, 312.5 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, 50 juta saham akan disediakan bagi permohonan oleh orang awam Malaysia melalui pengundian, manakala baki 27.5 juta saham akan diperuntukkan untuk mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan itu.

“RHB Investment Bank sebagai pengurus penaja jamin dan penaja jamin bersama dengan AmInvestment Bank, CIMB Investment Bank dan Affin Hwang Investment Bank sebagai penaja jamin bersama, akan menaja jamin keseluruhan 77.5 juta saham IPO di bawah tawaran runcit itu,” katanya.

Pengarah Urusan Mohd Faris Adli Shukery berkata syarikat itu bersedia untuk menjadi pemain bersepadu dalam segmen hiliran dengan mengoptimumkan kedudukannya dalam industri.

“Kami percaya bahawa hala tuju ini akan meningkatkan kebolehpasaran produk kami, membolehkan kami memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat untuk minyak sawit dan berkembang ke segmen perniagaan baharu melalui pertumbuhan strategik,” katanya.

Beliau berkata matlamat kumpulan itu adalah untuk menghasilkan minyak serta lemak khusus, bersama-sama dengan produk minyak sawit hiliran bernilai tinggi lain, yang disesuaikan untuk industri makanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini