comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jualan borong, runcit Malaysia naik 9.5% bagi Jan-Mac 2023

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Indeks volum perdagangan borong dan runcit Malaysia merekodkan pertumbuhan 9.5 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan ini disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang merekodkan peningkatan 14.7 peratus, diikuti oleh kenderaan bermotor dan perdagangan borong yang masing-masing meningkat 11.4 peratus dan 3.5 peratus.

“Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, indeks volum menokok 0.4 peratus, disokong oleh kenderaan bermotor yang bertumbuh 3.2 peratus,” katanya dalam kenyataan mengenai Indeks Volum Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia, Suku Tahun Pertama 2023 yang dikeluarkan pada Rabu.

Beliau berkata dari segi prestasi mengikut subsektor pula, indeks volum subsektor perdagangan runcit merekodkan pertumbuhan positif 14.7 peratus disumbangkan oleh jualan runcit bahan api kenderaan dengan 40.0 peratus.

Ini diikuti oleh jualan runcit di kedai khusus yang menjual barangan lain pada 22.9 peratus dan jualan runcit di kedai bukan pengkhususan pada 18.8 peratus, katanya.

“Sementara itu, indeks volum perdagangan runcit turun 0.8 peratus berbanding suku tahun lepas,” katanya.

Mengulas lanjut prestasi indeks volum kenderaan bermotor, Mohd Uzir berkata peningkatan sebanyak 11.4 peratus bagi subsektor ini disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor serta jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan 13.7 peratus dan 12.4 peratus.

Beliau berkata penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor turut meningkat dengan pertumbuhan 12.3 peratus.

Bagi prestasi suku tahunan, indeks volum kenderaan bermotor naik 3.2 peratus berbanding suku tahun sebelumnya, katanya.

Beliau berkata indeks volum subsektor perdagangan borong merekodkan pertumbuhan positif 3.5 peratus pada suku pertama 2023 berbanding tempoh yang sama pada 2022.

Peningkatan ini disumbangkan oleh jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup dengan 11.4 peratus, diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah pada 10.3 peratus dan jualan borong makanan, minuman dan tembakau pada 9.1 peratus.

Mohd Uzir berkata bagi perbandingan suku tahunan, indeks volum perdagangan borong naik 1.1 peratus.

Beliau berkata bagi indeks volum pelarasan musim, perdagangan borong dan runcit meningkat 3.6 peratus berbanding suku keempat 2022.

“Subsektor kenderaan bermotor dan perdagangan borong mencatatkan pertumbuhan positif masing-masing pada 7.2 peratus dan 5.4 peratus,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini