comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jualan borong, runcit pada April melonjak kepada RM144.9 bilion

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Perdagangan borong dan runcit Malaysia pada April 2024 mencatatkan nilai jualan bulanan berjumlah RM144.9 bilion, berkembang 6.6 peratus tahun ke tahun, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan itu dipacu oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 5.5 peratus atau RM3.3 bilion kepada RM63.8 bilion.

Beliau berkata, perdagangan borong juga meningkat dengan mencatatkan 4.8 peratus atau RM2.9 bilion kepada RM63.8 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan pertumbuhan 18.1 peratus atau RM2.6 bilion untuk mencapai RM17.3 bilion.

“Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong dan runcit turun 0.6 peratus berbanding bulan sebelumnya dipengaruhi oleh kenderaan bermotor dan perdagangan borong masing-masing merosot 8.2 peratus dan 0.4 peratus,” katanya dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh DOSM, hari ini.

Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir memaklumkan bahawa pertumbuhan 5.5 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan runcit disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang tumbuh 5.2 peratus atau RM1.2 bilion kepada RM24.7 bilion.

Katanya, kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (8.4 peratus), jualan runcit barangan isi rumah (4.7 peratus), jualan runcit bahan api kenderaan (4.9 peratus), jualan runcit makanan, minuman & tembakau (7.2 peratus), jualan runcit barangan kesenian & rekreasi (5.0 peratus), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (6.4 peratus), jualan runcit peralatan komunikasi & maklumat (0.4 peratus) dan jualan runcit di gerai & pasar (4.0 peratus).

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini meningkat 1.5 peratus, disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (1.8 peratus), jualan runcit di kedai pengkhususan (1.6 peratus), jualan runcit bahan api kenderaan (2.9 peratus),” katanya.

Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan borong, beliau berkata kenaikan 4.8 peratus tahun ke tahun pada bulan dikaji disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM1 bilion atau 4.2 peratus kepada RM23.9 bilion.

Katanya, ini diikuti oleh jualan borong makanan, minuman & tembakau (6.6 peratus), jualan borong barangan isi rumah (4.4 peratus), jual borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup (6.7 peratus), jualan borong jentera, peralatan & bekalan (2.6 peratus), perdagangan borong tanpa pengkhususan (4.7 peratus) dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (3.2 peratus).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini