Oleh: Suzila Idayu Yaacob
KAJANG: Jualan hartanah melonjak melebihi RM105 bilion, meningkat 23.8 peratus pada separuh pertama tahun ini, tertinggi dalam tempoh lima tahun.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, jumlah itu membabitkan 198, 906 transaksi, disokong oleh pertumbuhan kukuh 5.9 peratus ekonomi Malaysia dan inisiatif kerajaan dalam belanjawan 2024.
“Lonjakan dalam aktiviti pasaran ini didorong aliran positif dalam urus niaga merentas semua subsektor, peningkatan dalam status pasaran dan peningkatan dalam aktiviti pembinaan.
“Jumlah urus niaga meningkat sebanyak 8.0 peratus, mencecah hampir 200,000 urus niaga, dengan jumlah nilai melebihi RM105 bilion,” katanya.
Jelas beliau, inisiatif yang memacu aktiviti pasaran termasuk program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan penubuhan Zon Kewangan Khas di Forest City.
Hui Ying berkata, prestasi aktiviti pasaran mengikut subsektor juga menunjukkan peningkatan dengan mencatat pertumbuhan yang kukuh tahun ke tahun iaitu subsektor kediaman (6.1 peratus), komersial (22.4 peratus), industri (2.3 peratus), pertanian (6.5 peratus) dan tanah pembangunan (12.1 peratus).
Sementara itu katanya, kediaman siap dibina tidak terjual turut memperlihatkan momentum yang lebih memberangsangkan.
“Unit siap dibina tidak terjual merekodkan penurunan sebanyak 12.3 peratus berjumlah 22,642 unit dan sebanyak 19.5 peratus dalam nilai berjumlah RM14.24 bilion, berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2024 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan merasmikan Jubli Perak Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) serta Simposium Penyelidikan Harta Tanah Antarabangsa (IRERS) 2024 di Institut Penilaian Negara (INSPEN), Kajang, Selangor.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.