comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jualan kereta di Malaysia kekal lebih 60,000 unit bulan lalu

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Industri automotif tempatan meneruskan momentum jualan positif apabila jumlah keseluruhan industri (TIV) bulanan kekal melebihi 60,000 unit yang dicapai sejak Ogos lalu pada Oktober.

Meskipun prestasi jualan pada Oktober sedikit menurun kepada 61,002 unit, pencapaian itu masih kukuh menuju ke sasaran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) iaitu 630,000 unit.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022, industri automotif tempatan merekodkan TIV berjumlah 577,902 unit, hanya 52,098 unit untuk mencapai sasaran MAA.

Jumlah jualan 10 bulan 2022 juga 50 peratus jauh lebih tinggi berbanding 383,589 unit yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

Bagi Oktober 2022, sejumlah 61,002 unit kenderaan dijual dengan pecahan 54,498 unit untuk kenderaan penumpang dan baki 6,504 unit lagi adalah kenderaan komersial.

Perbandingan bulan ke bulan, jualan Oktober adalah 10 peratus lebih rendah berbanding September iaitu 67,659 unit dan 64,762 unit jika dibandingkan dengan pencapaian Oktober 2021.

Menurut MAA, prestasi jualan pada Oktober 2022 disokong tempahan tertunggak yang dimiliki pengeluar kereta, meskipun kadarnya lebih perlahan. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini