comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jumlah dagangan Malaysia-China naik 5.9 peratus pada Jan-April 2024 – Duta

FOTO: NSTP

BEIJING: Jumlah perdagangan Malaysia dan China bagi tempoh Januari hingga April 2024 meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM151.06 bilion berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad berkata eksport ke China mencecah RM58.6 bilion dengan barangan elektrikal dan elektronik (E&E) menyumbang nilai terbesar sebanyak 40.5 peratus.

Prestasi import dari China pula menokok 11.6 peratus kepada RM92.46 bilion, merangkumi terutamanya produk E&E, jentera, peralatan dan komponen serta bahan dan produk berkaitan kimia, katanya.

Beliau berkata pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia dan China susut 7.3 peratus kepada RM450.84 bilion manakala defisit perdagangan Malaysia dengan negara itu mencecah RM66.42 bilion.

“China yang juga rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut, menyumbang 17 peratus daripada keseluruhan jumlah perdagangan.

“Eksport ke China menyumbang 13.5 peratus daripada jumlah eksport Malaysia pada 2023 yang mencecah RM192.21 bilion, nilai tertinggi setakat ini yang disokong oleh eksport kukuh membabitkan produk E&E, bahan kimia dan produknya serta gas asli cecair (LNG),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sidang media itu bersempena lawatan rasmi pertama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke China pada 22 Mei-1 Jun, 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini