comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jumlah pinjaman bank naik 22.7%

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Jumlah pinjaman yang diluluskan pada Mac 2023 meningkat sebanyak 22.7 peratus berbanding bulan sama pada 2022 dan menokok 28.3 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Menurut TA Securities Holdings, kelulusan pinjaman perniagaan meningkat 33.3 peratus berbanding tahun sebelumnya dan melonjak 30.6 peratus bulan sebelumnya.

Jumlah pinjaman pengguna yang diluluskan juga meningkat sebanyak 14.2 peratus pada Mac 2023 berbanding tahun sebelumnya dan naik 26.2 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Secara keseluruhan, kadar kelulusan adalah sebanyak 52 peratus, disokong oleh kelulusan bagi perniagaan dan pengguna dengan masing-masing 59 peratus dan 46 peratus.

Mengikut sub segmen utama, kadar kelulusan bagi pembelian hartanah kediaman dan hartanah bukan kediaman berjumlah 43 peratus dan 45 peratus, manakala kadar kelulusan pinjaman sewa beli berada pada 65 peratus.

Sementara itu, Affin Hwang Investment Bank pula berkata, pinjaman isi rumah meningkat sebanyak 0.4 peratus pada Mac 2023 berbanding bulan sebelumnya dan 5.7 peratus berbanding Mac 2022.

Dalam tempoh Januari hingga Mac, pengeluaran pinjaman kepada sektor isi rumah terus dipacu perbelanjaan kad kredit yang teguh, hartanah kediaman, auto dan kegunaan peribadi.

Pada Mac 2023, pinjaman isi rumah meningkat, disokong oleh gadai janji (+6.4 peratus), kad kredit (+15.2 peratus), kereta penumpang (+8.9 peratus), pembiayaan peribadi (+2.8 peratus).

Pinjaman domestik pada Mac 2023 menyaksikan pengembangan sebanyak 5.0 peratus dari tahun ke tahun dan naik 0.4 peratus dari bulan ke bulan.

Pinjaman pada Mac 2023 meningkat 5 peratus dari tahun ke tahun berikutan permintaan kukuh daripada borong/runcit/perdagangan (+4.9 peratus), pengangkutan (+12.5 peratus), utiliti (+31.8 peratus) dan sektor isi rumah (+5.4 peratus).

Sementara, pinjaman untuk perlombongan dan kuari kekal lemah (-10.5 peratus), pembuatan pada -0.7 peratus dan pembinaan tidak berubah.

Loading...
Terkini