comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jutaan rakyat Malaysia tak cukup simpanan persaraan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Sistem persaraan Malaysia melalui perubahan struktur yang besar semasa pandemik COVID-19, terutamanya berikutan pengeluaran daripada akaun persaraan bernilai lebih daripada RM145 bilion, demikian menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

“Ini menyebabkan ketidakseimbangan dalam sistem, dengan jutaan rakyat tidak mempunyai perlindungan persaraan mencukupi dan jutaan lagi langsung tiada perlindungan persaraan. Pada masa sama, populasi Malaysia sedang mengalami penuaan dan akan mencapai definisi ‘masyarakat berusia’ dalam tempoh kira-kira sedekad lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

MIER turut mencadangkan supaya kerajaan akan datang menubuhkan sebuah Panel Semakan Semula Persaraan Kebangsaan yang bebas bagi membincangkan isu-isu struktur dan model yang sesuai untuk menangani masalah sedia ada dalam sistem.

Institut penyelidikan itu menambah, pembaharuan sistem sepatutnya bersifat universal dan holistik, selain memasukkan Persaraan Asas Universal yang menjamin jumlah persaraan mencukupi bagi semua rakyat Malaysia, selain menyediakan pendapatan mencukupi bagi meliputi perbelanjaan asas, penjagaan kesihatan, insurans serta kos sara hidup.

Ia berkata, isu yang sering dilupakan mengenai kemudahan persaraan dan ‘di mana masyarakat menua’ perlu ditangani begitu juga dengan isu ‘bagaimana masyarakat menua’, termasuk bantuan penjagaan diri serta sokongan dapat disediakan dan dibiayai.

Katanya, keseragaman pembaharuan persaraan perlu juga termasuk mereka yang tidak berada dalam kumpulan tenaga kerja, bekerja dalam sektor tidak rasmi dan ekonomi gig, serta rakyat Malaysia yang tidak berada di dalam negara termasuklah pekerja asing dan pelarian.

“Kami mencadangkan satu model yang universal dan holistik dengan sistem berperingkat yang termasuk tonggak bukan caruman, tonggak caruman mandatori, sistem persaraan swasta (PRS) serta pilihan bentuk pendapatan lain bagi menyokong usia tua melangkaui pencen.

“Kami turut mencadangkan Malaysia mempertimbangkan penubuhan Malaysian SuperFund bagi menyediakan penyelesaian kewangan mampan bagi menyokong Persaraan Asas Universal.

Ini termasuk pilihan menggunakan pembiayaan Islam dan mengumpulkan dana tidak berpretasi baik ke dalam pengurusan persaraan keseluruhan.

“Paling utama, kami mencadangkan Malaysia menjadi bercita-cita tinggi dan berusaha menyediakan sistem berkelas dunia yang mampan bagi memberikan persaraan yang selamat, terhormat serta bermaruah untuk semua rakyat,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini