comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jutawan Filipina, Frank Lao ambil alih 35 peratus kepentingan ZUS Coffee

(DARI kiri) Pengasas bersama ZUS Coffee, Terrence Ho dan Ian Chua; Ketua Choi Garden Group, Janica Lao serta Ketua Pegawai Operasinya, Venon Tian.

KUALA LUMPUR: Jutawan Filipino Frank Lao, yang merupakan individu di sebalik dua francais restoran paling terkenal di Filipina, Choi Garden dan Gloria Maris, mengembangkan lagi portfolionya dengan melabur dalam ZUS Coffee, jenama kopi Malaysia yang berasaskan teknologi.

Ketua Pegawai Operasi Choi Garden, Janica Lao, telah menandatangani perjanjian untuk membeli saham sebanyak 35 peratus dalam ZUS Coffee.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di Malaysia minggu lepas.

Perjanjian itu turut ditandatangani oleh pengasas bersama ZUS Coffee, Ian Chua.

Janica berkata, kumpulan Choi Garden berhasrat untuk berkembang di Filipina dan ZUS Coffee merupakan integrasi yang sesuai untuk perancangan mereka.

Frank Lao sebelum ini membeli restoran makanan laut Gloria Maris dan Hai Kang di Greenhills pada tahun 2020.

Janica menerajui pengembangan kumpulan Choi Garden, selepas berjaya melancarkan restoran Sepanyol Perro Chikko, Teh Susu Boba Girl dan Beard Papa’s.

“Kami berhasrat untuk memperkenalkan ZUS Coffee kepada Filipina. ZUS Coffee tidak berniat untuk menjadi francais; kesemua kedai mereka dimiliki oleh syarikat itu, dan mereka berhasrat untuk menjadi juara jenama tempatan. Pengembangan ZUS Coffee di Malaysia sangat pantas dalam tiga tahun ini dan mereka beriltizam untuk memenuhi pasaran Malaysia dengan perisa tempatan. Kami percaya mereka akan melakukan perkara yang sama di pasaran Filipina,” jelas Janica.

ZUS Coffee membuka kedai pertamanya di Malaysia pada tahun 2019. Kini, ZUS Coffee memiliki 197 outlet di seluruh negara, dengan perjualan kopi yang mencecah 30 juta cawan.

Loading...
Terkini