comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

KAB menang kontrak EPCC bernilai RM230 juta bina loji janakuasa di Sabah

KUALA LUMPUR: Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB) iaitu syarikat penyedia penyelesaian kejuruteraan dan tenaga berjaya memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM230 juta untuk membina loji janakuasa dan kemudahan berkaitannya di Sabah.

Ia berkata dalam satu kenyataan bahawa kontrak itu dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya KAB Energy Holdings Sdn Bhd (KABEH) oleh Regas Terminal (Lahad Datu) Sdn Bhd (RGTLD), iaitu anak syarikat Petronas Gas Bhd (PGB).

Loji janakuasa 52 megawatt itu akan menjadi satu-satunya sumber bekalan tenaga kepada projek gas asli cecair terapung Petronas (ZLNG) yang akan datang di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang dan loji enjin gas tunggal terbesar di negara ini.

Loji ZLNG, yang dijadualkan menjadi kemudahan gas asli pertama berhampiran pantai di Sabah, mempunyai kapasiti minimum 2.0 juta tan setahun.

“Memperoleh projek ini daripada PGB menguatkan inisiatif tenaga lestari KAB yang dilaksanakan sejak 2019.

“Kajian kebolehlaksanaan bersama kami dengan PGB menunjukkan bahawa loji janakuasa itu boleh dipercayai dan akan mencapai pengurangan karbon yang ketara,” kata Pengarah Urusan KAB Datuk Lai Keng Onn.

Ia berkata kerja-kerja EPCC untuk loji janakuasa itu akan bermula pada suku kedua 2023 dan disasarkan untuk siap pada suku pertama 2026. – BERNAMA

Loading...
Terkini