comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

‘Kadar hutang isi rumah di Malaysia masih terkawal’

Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kadar hutang isi rumah yang mencecah RM1.53 trilion pada akhir Disember 2023 dinilai tinggi oleh Bank Negara Malaysia (BNM), namun ia masih terkawal disebabkan oleh paras pinjaman terjejas kasar (GIL) yang amat rendah iaitu pada 1.6 peratus.

GIL merujuk kepada pinjaman atau bayaran hutang yang berkemungkinan besar tidak mampu untuk dilunaskan oleh peminjam.

Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, berkata bank pusat itu walau bagaimanapun akan terus memerhatikan dengan rapat paras hutang isi rumah negara.

“Kita perlu perhati dengan rapat, dengan dekat (hutang isi rumah negara). Walaupun berada pada tahap yang tinggi, apa yang kita lakukan sebelum ini adalah dengan memastikan yang pertama, peminjam apabila meminjam, faham impaknya ke atas mereka dan kemampuan untuk mereka membayar pinjaman berkenaan pada masa hadapan.

“Kedua, dari segi perspektif peminjam, kita akan teruskan dengan pendidikan kewangan bagi memastikan mereka tahu cara untuk menilai keupayaan mengambil pinjaman.

“Dari segi perspektif kestabilan kewangan, ia masih terkawal kerana paras pinjaman terjejas di Malaysia masih amat rendah walaupun kita sudah tiada lagi bantuan secara besar kerana kini telah menjadi bersasar, tetapi kita melihat nisbah GIL adalah stabil iaitu 1.6 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media Laporan Tahunan 2023, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2023 di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat semalam berkata, kadar hutang isi rumah di negara secara agregatnya menunjukkan trend peningkatan saban tahun sejak 2018.

Bagi tempoh 2018 hingga 2023, beliau berkata, bahawa purata pertumbuhan tahunan hutang isi rumah adalah 5.1 peratus.

Jelasnya, pertumbuhan hutang isi rumah tahunan ini didorong terutama pinjaman perumahan dan kenderaan susulan daripada pelbagai insentif pemilikan rumah yang ditawarkan oleh kerajaan serta swasta.

Peningkatan hutang itu juga, katanya didorong insentif cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi pembelian kenderaan bermotor antara 2020 dan 2022.

“Mengikut jenis pembiayaan, bahagian terbesar hutang isi rumah ialah pinjaman perumahan, merangkumi 60.5 peratus daripada hutang isi rumah, diikuti oleh pinjaman kenderaan (13.2 peratus), pembiayaan peribadi (12.6 peratus). Ia termasuk pinjaman untuk tujuan-tujuan yang lain termasuk pembelian harta bukan kediaman, hutang kad kredit, sekuriti dan lain-lain.

“Secara agregatnya, jumlah hutang isi rumah bagi tahun sebelumnya adalah seperti berikut: 2022 (RM1.45 trilion), 2021 (RM1.38 trilion), 2020 (RM1.32 trilion), 2019 (RM1.25 trilion) dan 2018 (RM1.19 trilion).

“Nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir 2023 pula meningkat sedikit kepada 84.2 peratus berbanding tahun 2018 (82 peratus),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Perdana Menteri berkata demikian menjawab soalan dikemukakan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan hutang isi rumah agregat negara bagi 2018 hingga 2023.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini