comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kadar inflasi di Malaysia kian menurun

Foto Hiasan

Oleh Amanda Lopez

PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi di Malaysia merekod penurunan pada 3.7 peratus bulan lalu, berbanding 3.8 peratus pada Disember 2022.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam keluaran terkini IHP, Januari 2023, trend penurunan ini dilihat sejak Oktober 2022.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata inflasi di Malaysia pada Januari 2023 disumbangkan oleh kumpulan restoran & hotel (6.8 peratus), makanan & minuman bukan alkohol (6.7 peratus) dan pengangkutan (4.0 peratus).

Beliau berkata, ia diikuti oleh kumpulan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (3.5 peratus); perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (2.7 peratus); pelbagai barangan & perkhidmatan (2.3 peratus) dan kesihatan (1.6 peratus).

Perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain dan pendidikan pula, katanya masing-masing merekodkan kenaikan sebanyak 1.5 peratus dan 1.3 peratus.

Sementara itu, minuman alkohol & tembakau dan pakaian & kasut masing-masing meningkat sebanyak 0.8 peratus dan 0.5 peratus berbanding Januari 2022.

“Kumpulan makanan & minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding Disember 2022.

“Peningkatan kumpulan ini terutamanya disebabkan oleh komponen makanan di luar rumah yang menyederhana kepada 9.3 peratus berbanding 9.6 peratus pada Disember 2022, manakala makanan di rumah meningkat 5.1 peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Komponen makanan di rumah menyumbang 57.4 peratus daripada wajaran kumpulan makanan & minuman bukan alkohol.

Mohd Uzir berkata, antara makanan di luar rumah yang meningkat perlahan adalah nasi ayam (8.0 peratus), makanan berasaskan ayam (6.3 peratus) dan nasi lemak (5.1 peratus).

“Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2023 bermula pada 15 hingga 29 Januari 2023 dan penetapan harga maksimum minyak masak kemasan botol oleh kerajaan telah meredakan inflasi kumpulan ini dari terus meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata inflasi pengangkutan mencatatkan peningkatan lebih perlahan kepada 4.0 peratus pada Januari 2023 berbanding Disember 2022 (4.9 peratus) disebabkan oleh peningkatanpurata harga petrol tanpa plumbum RON97 yang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan tahun ke tahun, Mohd Uzir berkata purata harga petrol tanpa plumbum RON97 mereda kepada 9.5 peratus (RM3.35 seliter) berbanding 20 peratus yang direkodkan pada Disember 2022 (RM3.60 seliter).

“Peningkatan sederhana ini adalah kesan daripada penurunan harga minyak mentah Brent (-2.9 peratus) kepada A$AS83.09 setong pada Januari 2023.”Selain itu, terdapat beberapa item perkhidmatan yang mencatatkan kenaikan dalam kumpulan ini iaitu tambang bas sekolah (1.3 peratus) dan tambang teksi dalam bandar (1.6 peratus).

Mengulas mengenai inflasi negara lain, Mohd Uzir berkata, kadar di Zon Euro mereda kepada 8.5 peratus pada Januari 2023 daripada 9.2 peratus pada bulan sebelumnya, didorong oleh inflasi tenaga yang mereda kepada 17.2 peratus.

Walau bagaimanapun, katanya makanan, alkohol & tembakau (14.1 peratus) menunjukkan kadar inflasi yang lebih tinggi berbanding Disember 2022.”Kadar inflasi di Amerika Syarikat (AS) turut mereda kepada 6.4 peratus pada Januari 2023 berbanding Disember 2022 (6.5 peratus),” katanya.

Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih di rantau Asia Pasifik, kadar inflasi di Malaysia adalah lebih rendah berbanding Filipina (8.7 peratus), Indonesia (5.3 peratus), Korea Selatan (5.2 peratus) dan Thailand (5.0 peratus).

Loading...
Terkini