comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kadar inflasi di Malaysia semakin reda

Foto Hiasan

PUTRAJAYA: Inflasi Malaysia semakin reda apabila hanya meningkat dengan kadar perlahan 3.3 peratus pada April 2023.Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan Indeks Harga Pengguna (IHP) April 2023 berkata, kenaikan inflasi pada kadar perlahan itu kekal didorong oleh restoran dan hotel (6.6 peratus) dan makanan dan minuman bukan alkohol (6.3 peratus).

Namun, katanya, peningkatan lebih perlahan bagi kumpulan pengangkutan iaitu 2.3 peratus berbanding Mac 2023 (2.4 peratus) sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi Malaysia daripada terus meningkat lebih tinggi.Wajaran bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (29.5 peratus), pengangkutan (14.6 peratus) dan restoran dan hotel (2.9 peratus) yang meliputi 47.0 peratus daripada wajaran keseluruhan IHP turut memberi impak ketara kepada kadar inflasi dan kos sara hidup.

Selain itu, kenaikan inflasi di Malaysia pada April 2023 turut didorong oleh peningkatan bagi kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.0 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.5 peratus); kesihatan (2.1 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (1.8 peratus).

Perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain dan pendidikan masing-masing merekodkan kenaikan 1.6 peratus, manakala minuman alkohol dan tembakau dan pakaian dan kasut pula masing-masing meningkat sebanyak 0.6 peratus dan 0.5 peratus.

Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 6.3 peratus berbanding Mac 2023 sebanyak 6.9 peratus.

Daripada 230 item makanan dan minuman, 84.3 peratus telah merekodkan kenaikan harga berbanding April 2022.Komponen makanan di rumah menyederhana kepada 5.0 peratus pada April 2023 berbanding 5.6 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya.

Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang bermula pada 15 hingga 30 April 2023 selama 16 hari sedikit sebanyak telah meredakan inflasi komponen itu dari terus meningkat.

Loading...
Terkini