comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kadar pengangguran di Malaysia terus catat penurunan

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Bilangan penganggur di Malaysia pada Julai 2024 terus berkurangan sebanyak 0.3 peratus kepada 563,700 orang berbanding 565,300 orang yang direkodkan pada bulan sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata kadar pengangguran pada bulan terbabit kekal pada 3.3 peratus seperti bulan sebelumnya.

Beliau berkata, bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada Julai 2024 sebanyak 0.2 peratus kepada 16.63 juta orang, berbanding 16.61 juta orang pada bulan terdahulu.

“Pasaran buruh negara kekal stabil, susulan kedudukan ekonomi negara yang semakin berkembang pesat, merekodkan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur semakin berkurangan.

“Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada Julai 2024 terus bertambah dengan merekodkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.2 juta orang, berbanding 17.17 juta orang pada Jun 2024. Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh tidak berubah iaitu pada 70.4 peratus seperti pada bulan Jun 2024,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh DOSM, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai situasi guna tenaga, Mohd Uzir berkata pada Julai 2024, sebahagian besar penduduk bekerja adalah dalam kategori pekerja, merangkumi 75 peratus.

Beliau berkata, kategori ini naik sebanyak 0.1 peratus kepada 12.48 juta orang, berbanding 12.46 juta orang pada Jun 2024.

“Pada masa yang sama, kategori penduduk bekerja sendiri kekal dalam trend meningkat, bertambah sebanyak 0.3 peratus kepada 3.07 juta orang, berbanding 3.06 juta orang pada Jun 2024,” katanya.

Mengikut sektor ekonomi, perkhidmatan terus merekodkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan & minuman, perdagangan borong & runcit serta pengangkutan & penyimpanan.

Dalam pada itu, sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan & pengkuarian serta pertanian turut mencatatkan trend positif dalam bilangan guna tenaga.

Mohd Uzir berkata, landskap ekonomi Malaysia terus berkembang, terutamanya disokong oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah, pasaran buruh yang terus positif dan sokongan dasar yang lebih besar, begitu juga peningkatan eksport barangan dan ketibaan pelancong yang lebih tinggi, serta pengembangan kukuh dalam aktiviti pelaburan.

Oleh itu, katanya perkembangan yang menggalakkan dalam aktiviti ekonomi dan perniagaan, akan membawa kepada pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan serta pendapatan dalam ekonomi, sekali gus akan menggalakkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran.

“Selaras dengan itu, kedudukan pasaran buruh Malaysia dijangka terus berdaya saing dan stabil pada bulan-bulan seterusnya selari dengan prestasi ekonomi negara,” katanya.

Loading...
Terkini