comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kadar pengangguran suku pertama turun kepada 3.3 peratus

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Kadar pengangguran turun pada 3.3 peratus pada suku pertama 2024 dengan bilangan penganggur terus menurun kepada 561,100 orang, menurut Sorotan Pasaran Buruh Suku Pertama 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata guna tenaga berkembang pada tiga bulan pertama 2024 kepada 16.40 juta orang berikutan permintaan yang berterusan terhadap buruh.

Beliau berkata, pertumbuhan eksport yang positif berikutan permintaan luaran yang lebih tinggi, serta permintaan domestik yang berdaya tahan, menyumbang kepada prestasi ekonomi yang lebih baik dengan kadar pertumbuhan yang lebih tinggi sebanyak 4.2 peratus berbanding 2.9 peratus pada suku sebelumnya.

Selain itu katanya, peningkatan dalam keadaan pasaran buruh dan aktiviti pelaburan yang kukuh turut memainkan peranan penting dalam mengukuhkan permintaan buruh.

“Selari dengan perkembangan ekonomi yang berterusan, penawaran buruh bertambah baik apabila kadar penyertaan tenaga buruh meningkat 0.4 mata peratus tahun ke tahun kepada 70.2 peratus.

“Bilangan tenaga buruh meningkat 1.9 peratus untuk merekodkan 16.96 juta orang, terutamanya disumbangkan oleh kenaikan 2.1 peratus penduduk bekerja, yang merangkumi 16.40 juta orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, keadaan pasaran buruh Malaysia berkembang pada suku pertama ini berikutan peningkatan dalam permintaan dan penawaran.

Beliau berkata, walaupun menghadapi cabaran luar yang berterusan, prospek ekonomi Malaysia akan terus disokong oleh perkembangan permintaan domestik yang mampan dan permintaan luaran yang bertambah baik.

Ini katanya termasuk peningkatan aktiviti pelancongan, pelaksanaan projek infrastruktur yang berterusan, pelaburan langsung asing yang komited dan inisiatif kerajaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini