KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran pada Jun lalu turun kepada 3.4 peratus dengan bilangan penganggur terus berkurang kepada 581,700 orang.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pasaran buruh negara ini kekal stabil pada Jun lalu, disumbang oleh peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala penganggur berada pada trend menurun, walaupun prospek ekonomi Malaysia diunjur berkembang secara sederhana.
Beliau berkata, bilangan tenaga buruh pada Jun lalu terus mengukuh sebanyak 0.2 peratus merekodkan 16.89 juta orang berbanding Mei seramai 16.86 juta orang.
“Dalam pada itu, bilangan penganggur pada bulan tersebut terus menurun dengan pengurangan sebanyak 0.5 peratus kepada 581,700 orang berbanding 584,600 orang pada Mei lalu.
“Kadar pengangguran pada Jun mencatatkan penurunan sebanyak 0.1 peratus kepada 3.4 peratus berbanding Mei 3.5 peratus,” katanya.
Mengenai kedudukan guna tenaga, Mohd Uzir berkata, daripada jumlah penduduk bekerja pada Jun, 75.4 peratus adalah dalam kategori pekerja yang merekodkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.30 juta orang berbanding 12.29 juta orang pada bulan Mei.
Pada masa yang sama katanya, bilangan penduduk bekerja sendiri juga terus meningkat dengan peningkatan sebanyak 0.5 peratus mencatatkan 2.95 juta orang berbanding 2.94 juta orang pada Mei.
“Mengikut sektor ekonomi, guna tenaga dalam sektor perkhidmatan kekal pada trend menaik, terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan.
“Bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian juga menunjukkan peningkatan pada bulan tersebut,” katanya.