comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kajian Separuh Penggal RMK-12, pastikan sasaran 2025 tercapai

KUALA LUMPUR: Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12) penting dalam memastikan sasaran yang ditetapkan pada 2025, mampu dicapai selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) Kementerian Ekonomi Luqman Ahmad.

KSP RMKe-12 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Isnin ini, akan menggariskan pencapaian bagi tahun 2021-2022 dan hala tuju bagi tahun 2023-2025 ke arah mencapai negara yang mampan, sejahtera dan berpendapatan tinggi dengan mengambil kira cabaran domestik, trend global semasa dan keutamaan Kerajaan Perpaduan.

Sehubungan itu, Luqman berkata penekanan naratif ekonomi MADANI untuk menstruktur semula negara ke arah menjadi peneraju ekonomi Asia, akan menjadi tonggak KSP RMKe-12 tersebut.

“Dalam usaha (memberi) tindak balas secara berkesan untuk menangani cabaran domestik dan global, pelaksanaan semula inisiatif pembangunan perlu dipercepatkan,” katanya yang menjadi tetamu dalam program REAKSI terbitan Bernama Radio, pagi ini.

Mengulas selanjutnya, Luqman berkata Malaysia telah mencapai pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 5.9 peratus setahun dan melebihi sasaran ditetapkan dalam RMKe-12 yang diterajui oleh peningkatan aktiviti buruh dan sektor swasta.

Pencapaian itu bagaimanapun, katanya, sedikit terjejas berikutan cabaran di peringkat global seperti ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan serta kenaikan harga komoditi dan inflasi yang tinggi.

“Di dalam negara, Malaysia menghadapi cabaran jurang pertumbuhan antara wilayah dan negeri serta ruang fiskal yang terhad,” katanya.

Atas alasan itu, Luqman menyifatkan dokumen KSP RMKe-12 yang disediakan oleh Kementerian Ekonomi, adalah hasil pendekatan keseluruhan rakyat menerusi sesi libat urus secara meluas termasuk di peringkat kementerian, kerajaan negeri, pemain industri, akademia serta pertubuhan serta masyarakat umum.

Usaha menerusi mesyuarat kumpulan antara agensi, kumpulan kerja teknikal, kumpulan fokus dan libat urus itu telah diadakan di semua negeri sejak September 2022 bagi mengumpulkan maklum balas semua pihak terbabit.

Beliau berkata, KSP RMKe-12 menyentuh semua bidang utama ekonomi, sosial dan alam sekitar yang merangkumi pertumbuhan, penyampaian perkhidmatan awam, kos sara hidup, agenda negara menua, kemiskinan, pasaran buruh dan pelaksanaan matlamat mampan serta prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memastikan ekonomi negara berada di landasan yang betul.

“KSP RMKe-12 juga memberi penekanan khusus bagi mengukuhkan fiskal negara, menambah hasil kerajaan dan menstruktur semula ekonomi Malaysia ke arah mengurangkan tekanan kos sara hidup selain melonjakkan ekonomi,” kata beliau. – BERNAMA

Loading...
Terkini