comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kapasiti pengunaan industri pembuatan capai 80.8 peratus pada suku pertama

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Industri pembuatan beroperasi dengan kapasiti 80.8 peratus pada suku pertama 2024, berbanding kadar kapasiti 79.8 peratus yang direkodkan pada setahun lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata kadar kapasiti yang lebih tinggi ini juga mendorong peningkatan 2.1 peratus tahun ke tahun dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) bagi industri pembuatan pada suku berkenaan.

“Peningkatan kadar kapasiti penggunaan pada suku pertama 2024 adalah disumbangkan oleh prestasi bagi Januari (80.9 peratus) dan Mac (81.6 peratus), dengan kedua-dua bulan melepasi 80 peratus, manakala Februari 2024 pada 79.8 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata faktor seperti permintaan yang rendah, bekalan bahan yang tidak mencukupi, dan pembaikan serta penyelenggaraan jentera dan peralatan kekal sebagai penyebab utama kepada kapasiti di bawah penggunaan dalam industri pembuatan.

Sementara itu, kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport menunjukkan kenaikan pada suku ini, iaitu meningkat 0.1 mata peratus tahun ke tahun kepada 79.4 peratus, katanya.

Mohd Uzir berkata industri berorientasikan domestik pula mencatatkan kadar kapasiti penggunaan 83.7 peratus pada suku pertama 2024, berkembang 2.8 mata peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

Empat negeri mempamerkan kadar kapasiti penggunaan melepasi paras kadar nasional pada suku pertama 2024, iaitu Wilayah Persekutuan Labuan (95.9 peratus), Negeri Sembilan (84.9 peratus), Selangor (83.1 peratus) dan Johor (81.0 peratus).

“Hampir kesemua negeri mencatatkan peningkatan tahun ke tahun bagi kadar kapasiti penggunaan kecuali bagi lima negeri iaitu Kedah, Kelantan, Melaka, Sarawak dan Kuala Lumpur (termasuk Putrajaya).

“Sementara itu, Kelantan merekodkan kadar kapasiti penggunaan terendah pada 69.7 peratus,
dipengaruhi terutamanya oleh industri pembuatan produk makanan,” katanya.

— BERNAMA

Loading...
Terkini