comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kedah realisasi pelaburan RM7.7 bilion tahun ini

ALOR SETAR: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah sudah merealisasikan pelaburan sebanyak RM7.7 bilion dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata ia diterajui oleh sektor pembuatan, diikuti oleh sektor pelancongan, logistik, pertanian dan ekonomi digital.

Katanya, pelaburan itu bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tetapi juga mewujudkan hampir 3,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Kedah.

“Kerajaan negeri Kedah ingin merakamkan penghargaan kepada NCIA atas dedikasi mereka memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di Kedah.

“Komitmen mereka untuk memajukan inovasi, memupuk bakat tempatan dan mempromosikan pelaburan mampan dalam keusahawanan adalah penting dalam membantu Kedah menjadi sebuah negeri maju pada masa depan,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) Kedah di sini.

Mesyuarat JPN diadakan untuk membincangkan perancangan penting dalam pelaburan dan pembangunan di Kedah selain turut menyentuh kemajuan projek-projek yang sedang dilaksanakan.

Menurut kenyataan itu, sebanyak tiga buah syarikat dianugerahkan LoG untuk DU@NCER, antaranya ialah Langkawi Skywalk Sdn Bhd, yang akan membina dan membangunkan ‘The World’s Longest Free-standing Cantilever Glass Skywalk’, dijangka sepanjang 38 meter dengan ketinggian 645 meter dari aras laut.

Katanya, syarikat kedua ialah pengendali resort Hangouts Urban dan Eco Langkawi iaitu SMS Retreat Company Sdn Bhd dan mereka bercadang menambah kapasiti tawaran bilik dalam segmen keluarga.

“Seterusnya Chenang Prima Resort Sdn Bhd ialah sebuah lagi syarikat berpengalaman dalam bidang hospitaliti di Langkawi yang menerima LoG untuk mengembangkan jenama Royale melalui perkongsian pintar dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

“Selain itu, dalam majlis yang sama syarikat PFCE Integrated Plant and Project Sdn Bhd (PFCE) telah dianugerahkan LoG untuk program NTEP. PFCE ialah syarikat pemaju untuk projek pembangunan pelancongan bersepadu baharu di Bandar Kuah, Langkawi,” katanya.

Loading...
Terkini