KUALA LUMPUR: Hartanah kediaman berharga RM300,000 hingga RM500,000 mencatat bilangan tertinggi tidak terjual, dengan 7,003 unit bernilai RM2.78 bilion pada suku ketiga 2024, menurut laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
Daripada 21,968 unit kediaman tidak terjual bernilai RM13.85 bilion pada suku ini, kediaman berharga RM500,000 hingga RM1 juta merangkumi 6,462 unit, manakala hartanah di bawah RM300,000 melibatkan 5,999 unit.
Kediaman jenis bertingkat menyumbang jumlah tertinggi tidak terjual dengan 13,455 unit atau 61.2 peratus, diikuti hartanah teres (5,187 unit) dan jenis lain (3,326 unit). Kuala Lumpur mencatatkan kediaman tidak terjual tertinggi dengan 3,273 unit, disusuli Perak dan Johor.
Kediaman berusia lima hingga 10 tahun menjadi komponen terbesar tidak terjual (10,774 unit), sementara hartanah di bawah tiga tahun mencatatkan 5,498 unit. Bagi hartanah dalam pembangunan, unit di bawah RM300,000 kekal paling banyak tidak terjual.
Laporan turut menunjukkan penurunan keseluruhan dalam kediaman siap tidak terjual kepada 21,968 unit, berbanding 22,642 unit pada suku sebelumnya. Apartmen servis berharga RM500,000 hingga RM1 juta mendominasi kategori tidak terjual dengan 20,158 unit.
Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Abdul Razak Yusak, menyatakan bahawa pasaran hartanah mengukuh pada suku ini, dengan transaksi meningkat 3.1% kepada 112,305 transaksi bernilai RM57.31 bilion, didorong oleh sokongan kerajaan dan pertumbuhan ekonomi yang kukuh.
“Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 mula menunjukkan kesan positif terhadap industri hartanah. Pengukuhan industri ini memberi keyakinan pada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam pembentangan prestasi pasaran hartanah suku ketiga 2024 di platform Facebook, hari ini.
Menurutnya, subsektor hartanah industri mencatat pertumbuhan transaksi tertinggi dengan peningkatan 13.6 peratus dalam bilangan dan 26.7 peratus dalam nilai transaksi, diikuti subsektor komersial dan kediaman.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.