comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kedudukan Malaysia berdekatan Hainan buka peluang tingkat kerjasama

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia yang dekat dengan Hainan, China, membuka peluang untuk meningkatkan persefahaman dan kerjasama serta memaksimumkan peranan negara sebagai pintu masuk ke ASEAN, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Hainan, yang merupakan sebuah wilayah kepulauan China, adalah lokasi paling dekat dengan Malaysia dan merupakan pelabuhan perdagangan bebas terbesar di China.

“Malaysia pula memegang kedudukan penting dalam keseluruhan rantaian bekalan rantau Asia Tenggara dan dapat menyediakan tanah, infrastruktur, sumber manusia dan dasar yang diperlukan.

“Ini merupakan komponen penting dalam rantaian bekalan dan boleh menyokong banyak aktiviti perindustrian,” kata Liew.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Usahawan Malaysia-China ke-13 2023 yang diadakan di Haikou, Hainan pada Ahad, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Dewan Perniagaan Malaysia-China.

Liew turut berkata beliau berharap hubungan perdagangan dan pelaburan yang berterusan dengan China semakin kukuh.

Pada persidangan itu, Timbalan Menteri berkenaan juga berkongsi rangka kerja Ekonomi MADANI yang digariskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertujuan untuk menarik pelaburan bernilai tinggi, dalam dan luar negara.

“Kami mahu memacu pemindahan kemahiran dan pengetahuan, pekerjaan berkemahiran tinggi, hubungan kukuh dengan perusahaan kecil dan sederhana domestik, dan pengagihan kekayaan yang lebih adil dengan matlamat membina masyarakat kelas pertengahan yang lebih kukuh,” jelasnya.

China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, dan pada 2022, nilai perdagangan antara Malaysia dan China adalah kira-kira 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trilion.

Jumlah perdagangan antara negara pada 2022 ialah RM487.13 bilion, meningkat 15.6 peratus berbanding tahun sebelumnya. – BERNAMA

Loading...
Terkini