comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kedudukan mudah tunai dan pembiayaan kekal kukuh

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Sistem perbankan negara terus mengekalkan kedudukan mudah tunai yang baik dengan mencatatkan nisbah perlindungan mudah tunai yang kukuh pada 152.5 peratus pada September berbanding 141.1 peratus pada Ogos, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu berkata, bank-bank di Malaysia mengekalkan pertumbuhan deposit yang mampan susulan daripada kegiatan ekonomi yang kembali pulih dan terus menyokong aktiviti pemberian pinjaman dengan nisbah pinjaman kepada dana agregat kekal stabil pada 82.5 peratus berbanding 82.6 peratus pada Ogos.

Dalam laporan Sorotan Bulanan-September 2022 hari ini, kualiti aset sistem perbankan kekal utuh, dengan keseluruhan nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih pada amnya kekal stabil, masing-masing pada 1.82 peratus (Ogos : 1.84 peratus) dan 1.12 peratus (Ogos : 1.13 peratus).

Laporan itu menyatakan, nisbah perlindungan kerugian pinjaman termasuk rizab kawal selia kekal pada tahap berhemat sebanyak 115.2 peratus daripada pinjaman terjejas dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.8 peratus daripada jumlah pinjaman.

Setakat akhir September 2022, sistem perbankan mencatatkan jumlah peruntukan dan rizab kawal selia sebanyak RM41.9 bilion.

Bagaimanapun, ia berkata pertumbuhan pembiayaan bersih menyederhana pada September, meningkat 5.6 peratus pada akhir September (Ogos: 6.1 peratus), yang mencerminkan pertumbuhan lebih rendah dalam pinjaman terkumpul sebanyak 6.4 peratus berbanding 6.8 peratus pada Ogos dan bon korporat (3.5 peratus; Ogos: 4.3 peratus).

BNM berkata pertumbuhan dalam pinjaman isi rumah terkumpul kekal tidak berubah pada 6.6 peratus, mencerminkan pertumbuhan yang stabil.

“Meskipun pada kadar sederhana, pengeluaran pinjaman terus mencatatkan pertumbuhan yang tinggi, dalam keadaan trend pembayaran balik yang mampan.

“Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul menurun kepada 5.2 peratus daripada 6.8 peratus pada Ogos, sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas yang lebih tinggi. Namun begitu, pengeluaran pinjaman kekal mampan, didorong terutamanya oleh segmen perdagangan borong, perkilangan
pengguna dan kejuruteraan awam,” kata bank pusat lagi.

Sementara itu, BNM menekankan bahawa keadaan kewangan domestik semakin ketat pada September, didorong terutamanya oleh perkembangan luaran.

Pada September, ia berkata kadar hasil bon global meningkat, pasaran ekuiti merosot dan dolar AS terus mengukuh dan keadaan ini mencerminkan jangkaan bahawa dasar monetari akan diketatkan lagi terutamanya apabila Rizab Persekutuan AS menangani tekanan inflasi yang berterusan dalam keadaan prospek pertumbuhan global yang lebih sederhana.

Walaupun begitu, purata jumlah dagangan dan turun naik pertukaran asing (FX) dalam pasaran kewangan domestik kekal sihat, katanya.

“Kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun terus meningkat sebanyak 43.0 mata asas (bps) berbanding purata serantau sebanyak 58.0 bps yang merangkumi negara-negara seperti Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea.

“FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun sebanyak 7.8 peratus berbanding purata serantau iaitu pada -6.9 peratus, didorong oleh aliran keluar portfolio bukan pemastautin daripada pasaran bon dan ekuiti domestik. Ringgit menyusut sebanyak 3.5 peratus berbanding dolar AS dan berbanding purata serantau pula sebanyak -3.8 peratus berikutan mata wang AS yang terus kukuh,” katanya.

Sementara itu, pertumbuhan perdagangan borong dan runcit kekal kukuh pada Ogos dengan Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (IOWRT) terus mencatatkan pertumbuhan dua angka meskipun lebih rendah, iaitu sebanyak 27.0 peratus (Julai: 33.4 peratus).

“Pertumbuhan kukuh ini didorong terutamanya oleh segmen kenderaan bermotor. Pertumbuhan yang meningkat ini juga disebabkan oleh asas yang rendah pada Ogos 2021 apabila bilik pameran ditutup
semasa pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada separuh pertama bulan itu, serta pembelian kenderaan bermotor yang terus meningkat selepas itu.

“Ini bersama-sama dengan aktiviti yang lebih giat dalam segmen runcit menyumbang kepada peningkatan pesat pertumbuhan yang terlaras secara bermusim pada asas bulan ke bulan sebanyak 3.1 peratus berbanding -1.6 peratus pada Julai,” katanya.

Sementara itu, BNM menyatakan inflasi keseluruhan menurun kepada 4.5 peratus pada September berbanding 4.7 peratus pada Ogos apabila inflasi yang lebih rendah untuk harga ayam segar, sayur-
sayuran segar dan bahan api lebih daripada mengimbangi (offset) peningkatan inflasi teras.

Bagaimanapun, bank pusat itu berkata inflasi teras meningkat kepada 4.0 peratus pada bulan itu berbanding 3.8 peratus pada bulan sebelumnya, sebahagian besarnya mencerminkan inflasi yang lebih tinggi untuk harga pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan peribadi, makanan di luar rumah serta produk roti dan bakeri. – BERNAMA

Loading...
Terkini