comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelabur Asia Barat sah tarik diri selamatkan MYAirline

Pesawat MYAirline. – FOTO: Laman web MYAirline.

BATU GAJAH: ‘Talian hayat’ terakhir MYAirline Sdn Bhd untuk menyambung semula operasi syarikat penerbangan itu selepas lesennya digantung, berakhir apabila Kementerian Pengangkutan (MoT) semalam, mengesahkan prospek pelabur baharunya dari Asia Barat menarik diri.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata penarikan diri pelabur terbabit dinyatakan melalui satu surat yang diterima pihaknya, semalam.

Beliau berkata, dalam pertemuan bersama syarikat Asia Barat itu pada bulan lalu, pihaknya memaklumkan dua syarat perlu dipatuhi bagi membolehkan syarikat itu mendapatkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) untuk beroperasi semula iaitu melunaskan tunggakan gaji pekerja MYAirline serta pembayaran balik kepada penumpang terjejas dan ia dipersetujui ketika itu.

“Saya jumpa mereka dan memberitahu apa yang perlu dipatuhi membabitkan dua syarat itu dan ketika itu, saya juga berkongsi pandangan dengan mereka mengenai cabaran serta potensi yang ada dalam industri penerbangan negara.

“Jadi syarikat terbabit pada ketika itu sudah menandatangani perjanjian untuk melabur dalam syarikat MYAirline tertakluk kepada beberapa syarat dalam perjanjian itu.

“Namun semalam, kita menerima surat daripada syarikat (pelabur) yang sebelum ini dikatakan hendak melabur dalam MYAirline, menyatakan mereka sudah memaklumkan kepada pihak kerajaan melalui surat kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bahawa mereka sudah membatalkan hasrat berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (dua dari kiri) dalam sidang media selepas majlis Konvokesyen Akademi KTM Ke-6 di Akademi KTM, Batu Gajah. Foto NSTP

“Mereka sudah menamatkan perjanjian itu, maka mereka menarik diri daripada melabur dalam MYAirline. Itu keadaannya (sekarang),” katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen Akademi KTM (MYRA) ke-6 membabitkan 224 graduan di sini, hari ini.

Pada 12 Januari lalu, media dengan memetik sumber melaporkan, MYAirline memperoleh dan menandatangani perjanjian jual beli dengan pelabur dari Asia Barat dengan nama pelabur terbabit tidak dinyatakan, pada akhir Disember 2023 sekali gus dilihat boleh melaksanakan usaha menyambung semula operasi menjelang pertengahan 2024.

Ditanya sama ada MYAirline perlu mencari pelabur lain bagi memastikan syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) itu boleh beroperasi semula, Loke sekadar menjawab, ia terpulang memandangkan MYAirline adalah kepunyaan swasta, namun mereka mempunyai tanggungjawab atau kewajipan utama mematuhi dua syarat diberikan.

“Terpulang kepada MYAirline sama ada nak cari pelabur lain atau sebaliknya, tetapi obligasi mereka tetap ada iaitu (pembayaran balik) kepada penumpang terjejas dan juga pekerja mereka.

“Pekerja MYAirline masih menagih hutang dengan syarikat itu memandangkan semakan dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mendapati mereka masih belum ditamatkan kontrak, jadi obligasi syarikat terhadap pekerja masih berkekalan,” katanya.

Sebelum ini, MYAirline dilapor bersetuju membayar tuntutan gaji dan elaun 158 pekerjanya berjumlah RM4.3 juta selepas mesyuarat diadakan bersama JTK pada 24 November lalu.

Pada 16 Oktober tahun lalu, syarikat penerbangan itu dilapor merekodkan 125,000 penumpang terjejas, membabitkan anggaran RM22 juta bayaran balik perlu dilakukan kepada mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini