comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kehadiran pelancong dijangka meningkat kepada 27 juta – Kenanga IB

KUALA LUMPUR: Ketibaan pelancong ke Malaysia dijangka meningkat kepada 27 juta tahun ini, mewakili kenaikan 35 peratus berbanding tahun lepas, melepasi angka 26.1 juta yang dicatat semasa pra-pandemik pada 2019, kata Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Firma penyelidikan itu berkata pertumbuhan tersebut akan didorong oleh permintaan yang lebih tinggi untuk perjalanan udara perniagaan dan percutian, selaras dengan sasaran 27.3 juta seperti yang ditetapkan oleh Tourism Malaysia tahun ini.

Faktor penyumbang ialah kemasukan pelancong China, yang, secara tradisinya membentuk kira-kira 12 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong di Malaysia.

Selain itu, pertumbuhan itu juga akan didorong oleh pelaksanaan pengaturan bebas visa selama 30 hari membabitkan pelawat China dan India ke Malaysia, yang bermula pada Disember 2023.

Sebagai respons, China telah memberi pelawat masuk dari Malaysia 15 hari tanpa visa untuk perjalanan antara 1 Disember 2023 dan 30 November 2024, kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya hari ini.

Kenanga IB juga meramalkan trafik penumpang di keseluruhan sistem lapangan terbang akan menokok sebanyak 7.0 peratus kepada 131 juta tahun ini.

Lonjakan semula trafik penumpang dan ketersambungan dijangka dipacu oleh pengenalan syarikat penerbangan serta perkhidmatan baharu di lapangan terbang utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Langkawi.

Sementara itu, ia juga menjangka Capital A Bhd, syarikat induk AirAsia akan melihat permintaan penumpangnya meningkat, membuka jalan kepada pengukuhan hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) sebanyak 20 peratus kepada anggaran 70 bilion tahun ini.

Katanya, Capital A menyasarkan bagi mengaktifkan semula 202 pesawat yang tersedia untuk operasi dan kapasiti kepada 83 peratus berbanding tahap pra-COVID menjelang akhir tahun ini.

“Selain pengaktifan semula armada, ia menjangkakan peningkatan daripada persekitaran hasil yang tinggi semasa, disokong oleh permintaan yang agak mantap dengan tempahan hadapan pada Februari serta Mac masing-masing pada 91 peratus dan 49 peratus.

“Merentasi kumpulan, ia merancang untuk melancarkan lebih daripada 60 laluan baharu, melebarkan sayap di China dan India, selain memulakan operasi AirAsia Kemboja menjelang pertengahan 2024,” tambahnya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini