comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kejayaan reformasi diesel rintis pembaharuan program subsidi RON95 – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Kejayaan reformasi subsidi diesel dijangka akan membuka jalan kepada pembaharuan program subsidi RON95, demikian menurut penganalisis.

BIMB Securities Research menjangkakan kesan pelaksanaan rasionalisasi diesel boleh diurus memandangkan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan program Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) secara berterusan bagi mengekalkan inflasi yang stabil.

Penganalisisnya, Amiratul Husna Mohammad, berkata bank pelaburan itu masih mengekalkan jangkaan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi 2024 pada paras 2.7 peratus, tertakluk kepada kejayaan pelaksanaan program rasionalisasi subsidi.

Beliau menjelaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan pemilik kenderaan persendirian yang layak menggunakan diesel (seperti petani kecil, pesawah dan peniaga kecil) akan menerima bantuan kewangan, sebagai tambahan kepada 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan logistik (atau kenderaan pengangkutan barangan komersial) yang dikenal pasti di bawah SKDS.

“Oleh itu, kami menjangkakan kesan yang boleh diuruskan, memandangkan komitmen kerajaan untuk mempertingkatkan program SKDS 2.0 secara berterusan demi mengekalkan inflasi yang stabil.

“Namun, tumpuan beralih kepada penggunaan meluas program subsidi RON95, dengan dijangka pelaksanaan segera. Kejayaan reformasi subsidi diesel akan membuka jalan kepada reformasi RON95,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Amiratul Husna berkata, inflasi utama Malaysia kekal stabil pada 1.8 peratus pada April, kadar yang sama seperti Mac dan Februari, memberi jaminan bahawa inflasi terurus walaupun terdapat kebimbangan mengenai kemungkinan pengurangan subsidi.

Beliau berkata, kadar inflasi Malaysia adalah lebih rendah sedikit daripada dijangka, dengan kenaikan harga restoran dan produk penjagaan diri yang lebih mahal diimbangi oleh pengurangan kos dalam komunikasi dan pakaian.

Katanya, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) meningkat secara mendadak kepada 1.6 peratus pada Mac, mengekalkan trajektori meningkatnya berbanding bulan sebelumnya.

“Walaupun dengan kenaikan IHPR, kami menjangkakan pelepasan kos secara beransur-ansur, yang sepatutnya sejajar dengan aliran stabil dalam IHP,” katanya.

Sementara itu, TA Securities percaya potensi kenaikan harga diesel akan memberi tekanan terhadap kadar inflasi semasa.

Ia berkata, IHP dijangka boleh meningkat lebih dua peratus jika penghapusan subsidi diesel dilaksanakan tidak lama lagi.

Katanya, unjuran kadar inflasi pihaknya hampir sejajar dengan unjuran kerajaan sekitar 2.1 peratus hingga 3.6 peratus, dengan Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan IHP dalam lingkungan 2.0 peratus hingga 3.5 peratus.

“Pada masa ini, kami menjangkakan IHP kepada purata 2.9 peratus (kes asas) sepanjang 2024, berbanding 2.5 peratus pada 2023.

“Kami akan memperhalusi unjuran sebaik saja mempunyai butiran lanjut mengenai rasionalisasi subsidi bahan api,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini