comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kekurangan buruh, industri sawit rugi pendapatan RM20 bilion

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Industri sawit negara menanggung kerugian pendapatan mencecah RM20 bilion bagi tempoh 12 bulan tahun lalu susulan isu kekurangan tenaga kerja.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kekurangan tenaga kerja ini telah menyebabkan produktiviti hasil kelapa sawit terjejas dengan teruk.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata bagi meningkatkan kembali produktiviti, dianggarkan seramai 63,000 tenaga kerja asing masih diperlukan dalam sektor agrikomoditi terutamanya dalam perladangan sawit.

“Bagi menyelesaikan isu ini, kerajaan telah bersetuju untuk memudahkan proses kemasukan pekerja asing dan melaksanakan Pelan Rekalibrasi PATI 2.0.

“Di samping itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM)akan mengadakan perbincangan dengan negara sumber bagi memastikan kemasukan pekerja asing ini dapat dilaksanakan dengan lancar,”katanya ketika berucap menyampaikan Amanat Tahun Baharu KPK di sini hari ini.

Fadillah berkata, disebalik unjuran kelembapan dan pertumbuhan ekonomi global yang rendah, agrikomoditi sebaliknya membuka ruang baru yang perlu direbut.

Beliau berkata, permintaan hasil agrikomoditi ketika ini semakin meningkat naik dan harga pasaran dijangka kekal tinggi.

Walaubagaimanapun katanya, kemampuan untuk memanfaatkan peluang itu terletak kepada keupayaan negara untuk terus meningkatkan produktiviti bagi memenuhi permintaan pasaran dan memanfaatkan sepenuhnya harga tinggi di pasaran global itu.

Ini kerana katanya, terdapat juga cabaran lain yang dihadapi oleh industri agrikomoditi terutamanya sawit seperti usaha negara tertentukhususnya di benua Eropah yang cuba menyukarkan kemasukan minyak sawit negara.

“Bukan hanya sekadar dengan melancarkan kempen anti minyaksawit, kini pihak Kesatuan Eropah (EU) telah menggariskan undang-undang baharu iaitu European Union Deforestation Free Regulation (EUDR).

“EUDR boleh dikatakan satu bentuk sekatan perdagangan yang menghalang minyak sawit dari menembusi pasaran mereka.

“KPK akan mengatur langkah secara tersusun, teliti dan strategik bagi memperjuangkan hasil agrokomoditi Malaysia dapat menembusi pasaran antarabangsa secara adil dan saksama,”katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini