comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kelestarian jadi cabaran kepada sektor perladangan – Rhb Investment Bank

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank Bhd berpendapat kelestarian masih menjadi cabaran bagi penggiat perladangan terutamanya dengan undang-undang penebangan hutan Kesatuan Eropah (EU) yang akan berkuat kuasa mula Disember 2024 serta pemantauan terhadap amalan buruh dalam industri.

Penanam perlu meningkatkan usaha mereka melalui pelaksanaan kebolehpercayaan digital masa sebenar di seluruh industri, memastikan kerjasama maklumat melalui penggunaan teknologi awan dan mendapatkan agensi kerajaan serantau atau pengawal selia bersama-sama untuk membantu industri.

“Apa yang paling penting, pekebun kecil tidak harus dipinggirkan dalam peralihan ke arah kelestarian, memandangkan hampir 40 peratus minyak sawit dihasilkan dari ladang pekebun kecil,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Justeru, firma penyelidikan tidak membuat perubahan kepada andaian harga minyak sawit mentah (MSM) sebanyak RM3,900 satu tan metrik untuk 2023 dan mengekalkan saranan ’neutral’ untuk sektor perladangan.

“Risiko utama untuk saranan kami itu ialah perubahan cuaca dan perubahan dasar di Indonesia. Kami terus menyokong pembelian pemain bersepadu seperti Kuala Lumpur Kepong, IOI Corp, Wilmar International dan Golden-Agri Resources,” katanya.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd berkata semua orang memantau perkembangan kepada output kacang soya Argentina yang sudah pun merosot dan hasil tanaman Amerika Selatan telah menjadi faktor utama untuk dipantau, fenomena La Nina ketiga memberi kesan buruk kepada tanaman kacang soya.

“Kerugian tanaman kacang soya Argentina boleh menimbulkan risiko kepada bekalan kacang soya global, namun daripada sudut positif kacang soya di Brazil dijangka berkembang sebanyak 19 peratus, “katanya.

Firma penyelidikan itu berkata Persidangan dan Pameran Minyak Sawit dan Laurik 2023 (POC 2023) anjuran Bursa Malaysia baru-baru ini menyaksikan pendapat yang bercampur -campur mengenai jangkaan harga MSM dari serendah RM3,350 satu tan metrik hingga setinggi RM5,000 setan metrik.

Hong Leong Investment Bank pula mengekalkan andaian harga MSM untuk 2023-2024 pada RM4,000 satu tan metrik dan RM3,800 setan metrik dengan saranan ‘neutral’ pada sektor itu memandangkan ketiadaan pemangkin pertumbuhan pendapatan yang ketara. — BERNAMA

Loading...
Terkini