comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kempen Bazar Ramadan Tanpa Tunai di tujuh negeri

KUALA LUMPUR: Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) sedang mempergiat usaha bagi menggalakkan penerimaan kaedah pembayaran tanpa tunai dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui pelancaran kempen Bazar Ramadan Tanpa Tunai di tujuh negeri sepanjang bulan Ramadan.

Dengan kerjasama daripada pihak bank pemeroleh dan rakan kongsi platform pembayaran digital, kempen ini bertujuan untuk terus menjadikan urus niaga tanpa tunai sebagai pilihan utama pelanggan semasa berbelanja di bazar Ramadan.

Pengarah Kanan Bahagian Komersial PayNet, Azrul Fakhzan Mainor, berkata sempena program Bazar Ramadan Tanpa Tunai pada tahun ini, PayNet akan bekerjasama dengan rakan-rakan strategik pembayaran digital serta peniaga PMKS untuk meningkatkan titik sentuh DuitNow QR di tujuh negeri yang terbabit serta menyediakan kaedah pembayaran yang cekap kepada pengunjung bazar Ramadan.

“Dengan penyediaan titik sentuh ini, ia bakal menggalakkan lebih banyak perbelanjaan tanpa tunai di bazar Ramadan, dan kami menganggarkan lebih kurang tiga juta urus niaga DuitNow QR di sepanjang kempen ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Bazar Ramadan menjadi tumpuan di kalangan orang ramai apabila tiba bulan Ramadan, terutamanya dalam kalangan warga kerja kerana memudahkan persediaan juadah berbuka puasa dengan menawarkan pelbagai pilihan dengan harga yang berpatutan kepada pengunjung.

Sebagai rangkaian pembayaran nasional, PayNet terus meneroka kaedah pembayaran yang cekap dan lebih mudah untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah bagi peniaga dan pelanggan.

Kempen Bazar Ramadan Tanpa Tunai akan menggalakkan peniaga menerima pakai kaedah pembayaran digital di beberapa Bazar Ramadan merentasi 46 lokasi di tujuh negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Perak, Terengganu, Sarawak dan Kuala Lumpur.

Setiap negeri akan bekerjasama dengan rakan-rakan strategik pembayaran digital PayNet untuk memperkasa dan memperhebat penerimaan DuitNow QR dalam kalangan PMKS.

Kesedaran mengenai peningkatan penerimaan teknologi digital dalam masyarakat terutamanya dalam kalangan PMKS semakin meningkat, justeru menekankan keperluan mendesak untuk transformasi digital.

Ini merupakan faktor yang kritikal agar perniagaan dapat bertahan dan kekal bersaing dalam pasaran.

Melalui kempen Bazar Ramadan Tanpa Tunai, PayNet dan rakan- rakan strategik pembayaran digitalnya dapat menyediakan akses kepada PMKS tempatan untuk meningkatkan pengetahuan literasi kewangan digital serta menyokong peralihan mereka kepada penyelesaian pembayaran secara digital.

Azrul Fakhzan turut menyatakan bagaimana tingkah laku dan jangkaan pelanggan telah berubah berikutan kemajuan negara ke arah masyarakat tanpa tunai.

“Apabila melihat pendekatan kita terhadap permulaan bulan Ramadan sejak beberapa tahun lalu, jelas ternyata zaman telah berubah.

“Sebelum ini, kita akan memastikan wang tunai sentiasa cukup di tangan dan tidak sabar-sabar mengelilingi bazar Ramadan untuk memilih juadah berbuka.

“Dalam dunia hari ini, di mana pelbagai pilihan pembayaran tersedia, pelanggan telah menukar pilihan mereka kepada urus niaga tanpa tunai,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini