comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kenaikan cukai dijangka tidak beri kesan pada sektor hartanah

Foto hiasan

Oleh: Aderena Hanifah

KUALA LUMPUR: Kenaikan cukai perkhidmatan kepada lapan peratus pada Mac ini dijangka tidak akan memberi kesan ketara kepada permintaan pasaran hartanah kediaman di Malaysia.

Pengarah Penyelidikan Rahim & Co International Sdn Bhd, Sulaiman Saheh, berkata perubahan kadar cukai itu hanya akan menyebabkan reaksi spontan dalam pasaran atau perubahan jangka pendek.

Menurut beliau, peningkatan itu bukan daripada kadar kosong yang terus melonjak naik pada lapan peratus. Selama ini sudah ada enam peratus dan peningkatan itu secara efektifnya adalah dua peratus.

“Peningkatan ini mungkin akan dirasai, reaksi spontan kita jangkakan, namun trend jangka panjang ataupun menuju ke separuh kedua tahun ini, ia akan kembali normal dan saya merasakan pasaran masih lagi baik,” katanya.

Sementara itu, tahun 2023 menunjukkan pertumbuhan yang lebih sederhana di samping prestasi bercampur-campur di antara negeri dan sektor yang berbeza.

Ini juga menyumbang kepada penurunan statistik ‘unit kediaman siap dibina tidak terjual’ telah berjaya dikurangkan jumlahnya kepada 49,364 unit dengan nilai RM36.9 bilion pada suku-3 2023.

Mengenai prospek pasaran hartanah untuk tahun ini, permintaan kukuh dilihat untuk segmen rumah bertanah kerana ia kekal sebagai pilihan utama pembeli terutamanya bagi projek yang menawarkan unit pada harga berpatutan.

Tambah beliau, walaupun isu kemampumilikan masih membelenggui pasaran, paras permintaan hartanah kediaman dijangka akan kekal dominan, namun lanskap pasaran akan terus berubah daripada segi harga, reka bentuk dan lokasi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini