comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kenanga Investment Bank unjur eksport kekal pada 27% tahun ini

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Eksport 2022 dijangka kekal pada 27 peratus berbanding 26.1 peratus tahun lepas disokong oleh nilai ringgit yang lebih lemah walaupun terdapat jangkaan prospek suku keempat 2022 yang kurang memberangsangkan, kata Kenanga Investment Bank Bhd.

Menurut firma penyelidikan itu, eksport berkembang 28.5 peratus tahun ke tahun, didorong oleh permintaan kukuh daripada rakan dagangan utama dan sebahagiannya disumbangkan oleh ringgit yang lebih lemah di tengah-tengah pengukuhan nilai dolar AS berikutan kecenderungan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) untuk menaikkan kadar faedah.

“Ini turut berpunca daripada kenaikan harga komoditi ekoran situasi ketegangan geopolitik yang semakin meningkat selain tekanan rantaian bekalan yang berkurangan,” katanya dalam satu nota, hari ini.

Pada Khamis lepas, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan eksport Malaysia meningkat 15 peratus kepada RM131.63 bilion (AS$1=RM4.50), menjadikan ia pertumbuhan tahun ke tahun bagi bulan ke15 berturut-turut.

Sementara itu, jumlah perdagangan Malaysia berkembang sebanyak 21.1 peratus kepada RM245.18 bilion pada Oktober 2022, menandakan pertumbuhan dua digit bulan ke-21 berturut-turut.

Bagaimanapun dalam nota berasingan, AmBank Research berkata jumlah pertumbuhan perdagangan bagi Oktober adalah pada kadar paling perlahan sejak Februari 2022 dengan eksport nampaknya menunjukkan tanda-tanda kelembapan walaupun pertumbuhan yang sihat.

“Ini dapat dilihat daripada sektor pembuatan, subproduk tertentu yang telah mula mereda daripada tahap puncak termasuk produk kayu dan produk logam yang masing-masing merosot sebanyak 11.7 peratus dan 8.1 peratus bulan ke bulan.

“Kedua-duanya telah menguncup untuk bulan keempat berturut-turut,” katanya.

Ambank Research berkata pembuatan produk getah sudah turun ke paras prapandemik pada sekitar RM2 bilion berbanding kemuncaknya sebanyak RM7.5 bilion pada April 2021.

Dengan purata pertumbuhan eksport setakat tahun ini pada 26.4 peratus tahun ke tahun, firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran pertumbuhan eksportnya untuk 2022 kepada 25.5 peratus kepada 26.5 peratus daripada 24 – 25 peratus sebelumnya.

Ia menambah pertumbuhan akan menjadi lebih perlahan pada suku keempat 2022 disebabkan asas yang tinggi dan pertumbuhan global yang perlahan. – BERNAMA

Loading...
Terkini