comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan bakal labur RM60 juta bina CPC biojisim sawit di Sandakan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membangunkan Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan (CPC) biojisim sawit di Sandakan, Sabah, dengan pelaburan berjumlah RM60 juta secara kerjasama dengan Nextgreen Global Bhd dan Kumpulan Sawit Kinabalu, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.

Chan berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengambil berat tentang perkembangan industri hiliran sawit dan industri biojisim di Malaysia termasuk kawasan pantai timur Sabah yang mempunyai potensi sangat besar.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) di Dewan Rakyat, hari ini, yang ingin tahu tentang perancangan kerajaan dalam membangunkan industri hiliran minyak sawit dan biojisim di Sabah, terutamanya di daerah Sandakan yang mempunyai kawasan tanaman sawit terbesar di negeri berkenaan.

Chan memaklumkan bahawa bahagian Sandakan yang merangkumi daerah Sandakan, Kinabatangan, dan Sugut/Labuk (Beluran) mempunyai keluasan penanaman sawit sebanyak 742,304 hektar dengan penanaman semula seluas 34,016 hektar dan 65 kilang sawit yang beroperasi.

“Dianggarkan jumlah keterdapatan biojisim sawit di Bahagian Sandakan ialah 13.04 juta tan yang terdiri daripada pelepah sawit ( 8.19 juta tan), batang sawit (2.53 juta tan), tandan kosong (0.87 juta tan), gentian mesokarpa (0.92 juta tan) dan tempurung isirung sawit (0.53 juta tan),” katanya.

Mengikut rekod Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pada 2023, Sabah merupakan negeri yang mempunyai bilangan tertinggi kilang sawit yang beroperasi (125 buah) dan kawasan penanaman sawit (1.51 juta hektar) kedua tertinggi di Malaysia.

Sabah juga mempunyai 10 kilang pelumat isirung dan 11 kilang penapis yang beroperasi.

Selain itu, Chan berkata, KPK menerusi MPOB juga sedang membangunkan Pangkalan Data Biojisim Sawit di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) untuk meningkatkan pengkomersialan produk bernilai tinggi berasaskan biojisim sawit.

Pangkalan data itu akan memudahkan pihak industri membuat penilaian jumlah pengeluaran dan penggunaannya serta membuat perancangan jangka panjang untuk pengkomersialan produk biojisim sawit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini