comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan dijangka kekalkan pengurangan cukai M40, kenaikan T20

Foto hiasan

KUALA LUMPUR:  Institut Percukaian Malaysia (CTIM) berpendapat tiada cukai baharu yang akan diperkenalkan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023.

Ia, bagaimanapun, menjangkakan kerajaan akan mengekalkan pemotongan cukai pendapatan dua mata peratusan bagi kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dan kenaikan cukai 0.5 peratus untuk golongan berpendapatan tinggi (T20) yang dicadangkan dalam belanjawan sebelum ini.

Presiden CTIM, Chow Chee Yen berkata pengurangan cukai tersebut bertujuan membantu M40 dengan kenaikan kos sara hidup selain meningkatkan pendapatan boleh guna mereka, manakala kenaikan cukai ke atas T20 adalah untuk menampung pengurangan kutipan hasil yang disebabkan oleh pemotongan cukai.

“Fokus utama kerajaan sekarang ini adalah membantu menangani kos sara hidup dan memperbaiki kedudukan fiskal negara.

“Oleh itu, saya menjangkakan pengurangan cukai masing-masing sebanyak dua peratus serta kenaikan cukai 0.5 peratus dikekalkan,” katanya.

Di bawah Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober 2022 oleh kerajaan terdahulu, cukai pendapatan bagi kumpulan pendapatan bercukai antara RM50,001 hingga RM100,000 dikurangkan sebanyak dua peratus untuk tahun taksiran 2023, daripada 13 peratus kepada 11 peratus bagi RM50,001 hingga RM70,000 dan daripada 21 peratus kepada 19 peratus untuk RM70,001 hingga RM100,000.

Di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, cukai untuk mereka yang berpendapatan antara RM250,001 hingga RM400,000 dinaikkan daripada 24.5 peratus kepada 25 peratus.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menggantikan Ismail selepas Pilihanraya Umum Ke-15 pada 19 November lalu, akan membentangkan Belanjawan 2023 yang disemak semula pada Jumaat ini. –BERNAMA

Loading...
Terkini