comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan disaran perkenal skim pencen sosial  

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Susulan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan reformasi pencen bagi memastikan simpanan mencukupi di usia tua, beberapa pakar mencadangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menimbang memperkenalkan pencen bulanan untuk warga emas.

Menurut Pakar Sekuriti Sosial, Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial, Universiti Malaya (UM), Dr Amjad Rabi, skim pencen sosial itu boleh dilaksanakan jika memperolehi sokongan kerajaan dan majikan dan pencarum KWSP.

Katanya, 8.5 juta daripada 24 juta rakyat Malaysia yang dalam usia bekerja, tidak menyumbang kepada KWSP.

Tanpa simpanan KWSP atau pencen, nasib mereka dibimbangi apabila mencapai umur persaraan.

Pada masa yang sama, lebih 6 juta ahli KWSP yang aktif tidak mempunyai dana mencukupi untuk bersara dengan selesa.

Justeru, negara memerlukan skim pencen sosial untuk membantu golongan ini.

“Kita wujudkan satu tabung solidariti. Kita bawa masuk dana yang disumbangkan ramai agar warga emas ini dapat menerima sebanyak RM550 sebulan. Ramai wanita yang akan menerima pencen sosial ini kerana mereka ini didapati tidak menyertai pasaran buruh.”

“Kami juga melihat kepada bantuan warga emas iaitu bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk warga emas yang kini memberikan bantuan kepada warga emas. Bagaimana kita boleh melaksanakannya agar ia tidak hanya termasuk bawah 40 (B40) tetapi juga pertengahan 40 (M40).” katanya apabila ditemui di luar Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa KWSP 2024, baru-baru ini.

Pakar perunding pencen global, William Price pula berkata beberapa negara seperti Korea Selatan, Filipina, Bangladesh dan India telah melaksanakan skim pencen sosial ini.

Kebanyakannya membiayai skim ini melalui hasil cukai.

“Terdapat pelbagai cara melaksanakannya tetapi lazimnya dibiayai oleh cukai. Beberapa negara menggunakan istilah pencen yang kadangkala mengelirukan kerana ia sebenarnya adalah cukai biasa. Kadangkala, ia sebahagian daripada caruman pendapatan keselamatan sosial, di mana sebahagian daripada bayaran keselamatan sosial saya disalurkan kepada dana berkenaan.”

“Jadi, ada pelbagai cara untuk melaksanakannya tetapi anda perlu mencari sumber kewangan dan bagi kerajaan adalah menaikkan cukai.” katanya selepas membuat pembentangan di persidangan yang sama.

Selasa lalu, Perdana Menteri berkata sudah tiba masanya untuk negara melakukan reformasi terhadap rangka kerja pencen bagi memastikan keselamatan kewangan, ekuiti untuk semua rakyat Malaysia.

Katanya, tinjauan terbaru mendapati 26 peratus responden berumur 60 tahun ke atas akan terus bekerja kerana mereka menghadapi cabaran untuk mencapai jaminan pendapatan bagi membiayai keperluan persaraan mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini