comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan Disaran Tangguh Kutip Cukai Terhadap Barang Import Bernilai Rendah 

Oleh Suzila Idayu Yaacob

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menangguhkan pelaksanaan cukai jualan ke atas barangan import bernilai rendah (LVG) yang dijual menerusi dalam talian, yang akan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2023. 

‘Walaupun matlamat cukai ini dilihat adil dan wajar untuk dilaksanakan, beberapa perkara perlu dikaji supaya cukai ini tidak membebankan rakyat dan peniaga. Antara yang perlu yang perlu dipertimbang adalah kadar cukai yang berpatutan, jenis barangan yang dikenakan cukai serta operasi pelaksanaan cukai”, kata Pengarah Eksekutif, Cukai Tidak Langsung, KPMG Tax Services, Ng Sue Lynn secara eksklusif kepada TV3 hari ini.

Pihak kerajaan boleh mengambil masa (penangguhan) untuk menganalisa kesan cukai jualan ini kepada harga barangan berbanding operasi kutipan dan hasil cukai yang akan diterima.

“Sekiranya impak tidak begitu membebankan, mungkin ia boleh diteruskan. Sekiranya perlukan lebih masa terutama supaya rakyat tidak terkesan dengan potensi kenaikan harga termasuk faktor luar negara, penangguhan sementara waktu mungkin boleh dipertimbangkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cukai Tidak Langsung Deloitte Malaysia, Tan Eng Yew berkata, penangguhan ini juga bagi memastikan peniaga dan pihak kastam bersedia dengan aktiviti kutipan cukai. Undang-undang yang jelas dan berkesan perlu dilaksanakan supaya pembeli dan penjual memahami operasi cukai jualan dan mudah diterima pakai.

Cukai jualan ini dicadangkan di dalam Bajet 2022 membabitkan barangan berharga RM500 ke bawah. Kadar cukai jualan ini belum ditetapkan, namun dianggarkan sebanyak 10 peratus. 

Loading...
Terkini