comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan disaran wujud skim pencen sosial bercarum, kaji semula pengeluaran simpanan KWSP

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran pertimbang skim pencen sosial pencarum dalam usaha untuk mereformasi .sistem pencen dan persaraan di negara ini.

Timbalan Pengarah Penyelidikan, Khazanah Research Institute (KRI), Hawati Abdul Hamid berkata skim pencen sosial menggabung elemen sumbangan dan manfaat bagi menjaga kebajikan ahli selepas bersara.

“Penting untuk ditekankan bahawa ekosistem persaraan pelbagai peringkat di Malaysia masih bergelut dengan jurang liputan, ketidakcukupan simpanan di usia tua yang serius serta pembiayaan yang tidak mampan. Satu alternatif yang kita boleh pertimbangkan adalah dengan mewujudkan skim pencen sosial bercarum yang menggabungkan kemudahan dan caruman” kata beliau kepada Buletin Tv3.

Timbalan Pengarah Penyelidikan, Khazanah Research Institute (KRI), Hawati Abdul Hamid.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai reformasi terhadap rangka kerja pencen dan persaraan negara.

Melalui skim pencen sosial ini, katanya, ahli KWSP boleh menyumbang sebahagian caruman mereka kepada satu tabung kolektif dan menangani risiko usia tua secara solidariti, berbanding menabung secara individu.

Apabila ahli mencapai umur tertentu, tabung itu boleh digunakan sebagai pencen sehingga akhir hayat dalam bentuk anuiti.

Kerajaan juga boleh membantu ahli yang tidak dapat mencarum kerana hilang pekerjaan atau hilang upaya, untuk terus mendapat pencen sosial ini.

Kerajaan juga wajar menyemak semula umur persaraan dan pengeluaran simpanan KWSP.

“Sejak tahun 1950-an,  jangka hayat rakyat tempatan jauh lebih rendah.Sebagai contoh, umur pengeluaran penuh pada 55 tahun ditetapkan pada tahun 1952 apabila jangka hayat adalah 54.2 tahun. Jangka hayat warga tempatan kini meningkat kepada 75 tahun.” katanya.

Ini bermakna bahawa simpanan persaraan perlu mencukupi untuk mengekalkan kehidupan sekurang-kurangnya 20 tahun selepas umur pengeluaran penuh.

Inisiatif berpotensi lain juga termasuk memperdalam sumbangan progresif dan memperkenalkan dividen progresif.

Analisis KRI menunjukkan peningkatan tempoh caruman melalui umur persaraan yang lebih tinggi dijangka memberi kesan terbesar ke atas simpanan ahli, diikuti dengan dividen progresif dan caruman progresif.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkata populasi warga emas lebih terdedah kepada kemiskinan berbanding rakyat Malaysia yang lain, dengan hanya 29 peratus rakyat tempatan mempunyai pencen atau pendapatan seperti pencen semasa bersara.

Data KWSP menunjukkan satu daripada empat ahlinya menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh lima tahun selepas mencapai umur pengeluaran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini