comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Kerajaan komited perkasa ekonomi Islam berdaya tahan

 

Oleh: Farah Nabilah Wazer

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited dalam usaha meningkatkan dan memperkukuh inisiatif kewangan sosial Islam negara, dalam usaha memperkasa ekonomi Islam di peringkat global.

Selaras dengan usaha ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan program perintis Perniagaan Hijau Halal bertujuan membantu perniagaan halal di Malaysia untuk beralih ke arah amalan hijau dan mampan.

Beliau berkata, program itu akan dilaksanakan dengan menyediakan alat pembinaan kapasiti teknikal untuk mengukur dan melaporkan pelepasan gas rumah hijau serta pembiayaan peralihan termasuk pensijilan.

“Saya ingin mengulangi komitmen kerajaan Malaysia dalam melaksanakan inisiatif ini melalui pengumuman komitmen sejumlah RM100 juta untuk memupuk lebih banyak inovasi sebegini,” katanya.

Anwar turut mengumumkan Projek Hassan, iaitu kerjasama antara Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Majlis Pimpinan MIFC (MLC), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Universiti INCEIF untuk meningkatkan inisiatif zakat dalam memartabatkan keadaan sosioekonomi golongan asnaf di Kedah.

Menerusi kerjasama ini, ujar beliau, RM10 juta disasarkan bukan sahaja untuk memperkasa golongan asnaf, malah menambah baik faedah langsung hasil tuaian kepada pesawah.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Global Forum of Islamic Economics and Finance (GFIEF) bertenpat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pagi tadi.

GFIEF dianjurkan dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, International Islamic Liquidity Management Corporation, Bank Pembangunan Islam, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam dan Bank Dunia.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan gabenor Bank Negara Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini