comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan pastikan mekanisme pelaksanaan sesuai sebelum laksana subsidi bersasar – Amir Hamzah

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.- Foto fail

KUALA LUMPUR: Menjelang pelaksanaan subsidi bersasar termasuk bahan api, kerajaan akan memberi tumpuan untuk memastikan penyediaan mekanisme pelaksanaan yang sesuai, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata pada masa ini, kerajaan sedang memperhalusi mekanisme bagi memastikan apabila langkah itu dimulakan, ia adalah sesuai dan dinikmati kumpulan yang tepat, dan kerajaan menerima insentif penjimatan yang mencukupi daripada sistem ini apabila subsidi dihentikan.

“Rasionalisasi subsidi (bahan api) diperlukan memandangkan harganya amat berbeza di antara negara-negara. Kita mempunyai ketirisan. Kita tahu kita mempunyai ketirisan kerana insentifnya amat luas. Kita perlu mengubah insentif dalam negara ini supaya orang yang layak menerima subsidi, akan menerimanya.

“Tetapi, apa yang kita perlu lakukan adalah melaksanakan rasionalisasi subsidi. Mekanisme ini perlu sesuai. Saya berpandangan bahawa kerajaan kini berusaha memperhalusinya supaya apabila ia dilaksanakan, ia sampai ke sasaran yang betul. Rasionalisasi subsidi akan berlaku, tetapi kita tidak akan memulakannya jika aspek ini tidak dapat kita selesaikan,” katanya pada Forum C-Suite @EY baru-baru ini.

Menurut Amir Hamzah, kerajaan menanggung subsidi diesel di Malaysia sebanyak RM1 bilion pada setiap bulan.

Beliau berkata perbezaan harga pasaran telah mendorong penyeludupan ke negara jiran selama bertahun-tahun, dan membolehkan segmen besar sektor perdagangan meningkatkan keuntungan berikutan diesel murah, yang pada mulanya tidak layak diterima mereka.

“Kerugian akibat ketirisan berjumlah kira-kira RM4.5 juta sehari. Harus diingatkan bahawa subsidi menyeluruh tidak dapat dikekalkan dalam jangka panjang dan perlu digunakan sebagai alat untuk membantu golongan masyarakat yang mudah terjejas.

“Oleh itu, penambahbaikan mesti berlaku, dan Kementerian Kewangan bekerjasama erat dengan kementerian berkaitan untuk memperhalusi mekanisme itu bagi memastikan mereka yang layak menerima subsidi, akan menerimanya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini