comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan perlu pertimbang langkah alternatif isu kenaikan surcaj elektrik:NCCIM 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR:Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) menggesa kerajaan mempertimbangkan langkah alternatif berikutan pengumuman kenaikan drastik surcaj tarif elektrik untuk pengguna voltan sederhana (MV) dan voltan tinggi (HV) baru-baru ini.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata kerajaan boleh melaksanakan kenaikan secara berperingkat untuk surcaj tarif elektrik sebagai dasar alternatif untuk membolehkan industri dan perniagaan menyesuaikan dan merancang operasi dan pelaburan mereka.

Selain itu, katanya kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memberikan pengecualian atau subsidi untuk industri dan perniagaan yang penting kepada ekonomi dan kesejahteraan sosial negara seperti yang mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi atau menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata kenaikan surcaj tarif elektrik kepada 20 sen/kilowatt-jam (kWh) daripada 3.7 sen/kWh untuk pengguna MV dan HV dalam kalangan peserta industri, termasuk syarikat multinasional memberi impak yang ketara kepada kos operasi dan daya saing industri ini, yang merupakan penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara, mewujudkan pekerjaan dan daya saing global.

“Menggalakkan kecekapan dan inovasi tenaga dengan memberikan insentif dan sokongan kepada industri dan perniagaan yang melaksanakan amalan terbaik dalam pengurusan tenaga, teknologi serta penyelidikan dan pembangunan juga boleh dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata langkah lain termasuklah membangunkan sumber dan penyelesaian tenaga alternatif, seperti tenaga boleh baharu dan storan tenaga, untuk mengurangkan kos tenaga secara keseluruhan untuk industri dan perniagaan.

Soh berkata lebih banyak rundingan dan dialog pihak berkepentingan perlu diadakan untuk mendengar kebimbangan dan aspirasi industri dan perniagaan yang terjejas serta mencari penyelesaian jangka panjang dan manfaat bersama untuk sektor tenaga dan ekonomi secara keseluruhannya.

“NCCIM dan pihak berkepentingan komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan pengawal selia untuk mencari penyelesaian yang memastikan kestabilan dan kemampuan bekalan elektrik selain menggalakkan kecekapan tenaga, inovasi dan kemampanan,” katanya.

Pada 16 Dis 2022, kerajaan mengumumkan pengguna MV dan HV dalam kalangan peserta industri termasuk syarikat multinasional akan dikenakan surcaj pada kadar 20 sen/kilowatt-jam (kWh) untuk tempoh 1 Jan hingga 30 Jun 2023.

Loading...
Terkini