comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan Perpaduan pacu Bursa Malaysia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat dalam dagangan awal hari ini berikutan pelabur mengalu-alukan berita positif daripada mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada November apabila para pegawai bersetuju bahawa kadar kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan berkemungkinan wajar tidak lama lagi.

Pada 9.07 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 13.55 mata kepada 1,457.05 daripada 1,443.5 pada Rabu.

Saham pandu pasaran dibuka tinggi 7.18 mata kepada 1,450.68.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 261 berbanding 92 manakala 190 kaunter tidak berubah, 1,790 tidak diniagakan dan 84 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 464.42 juta unit bernilai RM186.57 juta.

Dalam kalangan saham perbankan, Maybank naik 15 sen kepada RM8.70, Public Bank meningkat sembilan sen kepada RM4.37 dan CIMB menambah 10 sen kepada RM5.61.

Secara keseluruhan, saham ini menyumbang 7.84 mata kepada indeks komposit.

Bursa serantau juga berada pada aliran meningkat dengan Nikkei 225 Jepun naik 1.32 peratus kepada 28,485.54, Indeks Straits Times Singapura menambah 0.27 peratus kepada 3,264.67 dan Kospi Korea Selatan meningkat 0.52 peratus kepada 2,430.48.

Dalam negara, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sokongan belian berkemungkinan daripada institusi tempatan, yang boleh menyebabkan indeks mengakhiri hari ini melebihi paras 1,440.

Dari aspek politik, katanya keputusan UMNO untuk menyokong cadangan Yang di-Pertuan Agong mengenai kerajaan perpaduan berpotensi untuk menamatkan kebuntuan politik yang berlaku dan ini boleh menyuntik keyakinan dalam bursa tempatan.

“Oleh itu, kami menjangka indeks akan diniagakan dalam julat 1,440-1,460 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals naik enam sen kepada RM8.84, Tenaga meningkat dua sen kepada RM8.44 dan Press Metal menambah satu sen kepada RM4.84.

IHH Healthcare merosot satu sen kepada RM5.98 serta Hong Leong Bank dan Petronas Gas, masing-masing berkurangan dua sen kepada RM20.46 dan RM16.88.

Dalam kalangan saham aktif, Advance Synergy menambah lima sen kepada 22.5 sen, Malayan United naik satu sen kepada 11 sen dan MyEG meningkat 1.5 sen kepada 81 sen manakala Eden merosot 3.5 sen kepada 15.5 sen dan Thriven berkurangan 2.5 sen kepada 13 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 83.09 mata kepada 10,349.31, Indeks FBM Emas Shariah menambah 38.55 mata kepada 10,455.28, Indeks FBMT 100 meningkat 85.02 mata kepada 10,082.45, FBM ACE naik 27.06 mata kepada 5,000.79 dan FBM 70 menokok 68.64 mata kepada 12,319.89.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 198.67 mata kepada 16,366.88 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.82 mata kepada 180.68 manakala Indeks Perladangan berkurangan 35.96 mata kepada 6,831.73 dan Indeks Tenaga merosot 3.34 mata kepada 740.52. – BERNAMA

Loading...
Terkini