comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan Perpaduan tangani inflasi, kos sara hidup dengan lebih baik

PUTRAJAYA: Prestasi Kerajaan Perpaduan dalam menangani inflasi dan kos sara hidup dilihat lebih baik berbanding pentadbiran sebelum ini.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, hasil kaji selidik yang dijalankan pada masa ini termasuk oleh Endeavour-MGC menunjukkan rakyat sebenarnya lebih berpuas hati dengan pentadbiran sekarang dalam menguruskan ekonomi.

Katanya, peratusan mereka yang berpuas hati dilihat meningkat dan lebih baik berbanding peratusan dicatatkan ketika pentadbiran sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) pada November tahun lalu.

“Cabaran menangani inflasi dan kos sara hidup ini memang besar dan memerlukan masa yang lebih panjang.

“Namun, angka-angka seperti yang disiarkan secara terbuka itu, semua menunjukkan ke arah bahawa rakyat sebenarnya lebih berpuas hati dengan cara kita menangani sekarang berbanding enam bulan lalu,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH).

Beliau berkata demikian bagi mengulas hasil kaji selidik Endeavour-MGC, yang mendapati sebanyak 52 peratus responden Melayu dan 46 peratus responden semua kaum tidak berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Perpaduan menangani isu inflasi dan kos sara hidup.

Rafizi menjelaskan, walaupun 52 peratus responden tidak berpuas hati, ia memberi makna bahawa 48 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Perpaduan dalam menangani isu inflasi dan kos sara hidup.

Beliau mendakwa angka 48 peratus itu lebih baik berbanding peratusan yang dicatatkan ketika pentadbiran-pentadbiran sebelum ini yang sekitar 30 peratus.

“Kalau 48 peratus berpuas hati sekarang, itu satu galakan yang baik kepada kerajaan dan kakitangan kerajaan dan pihak swasta untuk tangani isu ini (kos sara hidup dan inflasi). Inisiatif (yang dijalankan) menampakkan hasil dan ia akan dapat dirasai rakyat dari semasa ke semasa,” katanya.

Loading...
Terkini