Oleh Suzila Idayu Yaacob
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM1.7 bilion ringgit di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk melaksanakan projek pembetungan di seluruh negara.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memodenkan infrastruktur pembetungan dan menyediakan perkhidmatan pembetungan yang cekap dan berkualiti kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Kementerian telah mengambil konsep penyerantauan dalam pembangunan infrastruktur pembetungan di kawasan bandar berkepadatan tinggi.
“Ia bagi menggalakkan pembinaan loji rawatan kumbahan dengan skala yang sesuai bagi memenuhi keperluan komuniti lebih besar,” katanya dalam ucapan perasmian Trenchless Asia 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Wan Abd Rahim Wan Abdullah.
Beliau berkata setakat ini, Malaysia telah mencapai 85.4 peratus perkhidmatan pembetungan di bandar-bandar utama dan menyasarkan untuk mencapai 90 peratus liputan pembetungan menjelang akhir RMK12 pada 2025.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata potensi sektor pembetungan di Malaysia masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Biopepejal, bioefluen dan biogas antara produk sampingan yang mempunyai potensi untuk dikomersialkan.