comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan umum penggunaan penjimatan penyasaran subsidi diesel dalam Belanjawan 2025

Datuk Johan Mahmood Merican pada wawancara eksklusif bersama BuletinTV3 di Simposium Sasana 2024 Bank Negara Malaysia.

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membentangkan penggunaan hasil penjimatan daripada langkah penyasaran subsidi diesel dalam Belanjawan 2025 akan datang.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata kerajaan akan mengutamakan rakyat dalam merangka pelan daripada hasil peningkatan pendapatan melalui penyasaran subsidi.

“Perdana Menteri telah memberi tumpuan khusus dalam belanjawan tahunan terutama dalam bidang kesihatan, pendidikan dan infrastruktur asas. Semasa Belanjawan 2025 yang akan diumumkan kelak, ini dapat ditunjukkan dari segi agihan peruntukan kerajaan kepada keutamaan rakyat,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama BuletinTV3 di Simposium Sasana 2024 Bank Negara Malaysia.

Jelas beliau, penyasaran subsidi diesel memberi penjimatan sekitar RM4 billion. Pada masa sama, kerajaan masih menanggung bil subsidi RM10 bilion untuk sektor sasar iaitu sektor logistik, nelayan dan pengangkutan awam.

“Ramai yang masih menerima subsidi. Contohnya sektor logistik masih membeli diesel pada harga RM2.15 seliter, sektor pengangkutan awam, bas ekspres, sekolah pada RM1.88 seliter dan nelayan juga diberikan subsidi pada RM1.65 seliter. Walaupun nampak RM3.35 seliter, tetapi ramai golongan yang disasarkan bantuan dapat terus membeli diesel pada harga yang lebih rendah,” jelas beliau.

Beliau menambah harga diesel RM3.35 seliter yang ditetapkan kerajaan adalah mengikut harga semasa, melihat kepada purata bulan Mei.

Harga minyak disel akan disemak setiap minggu namun kerajaan akan memastikan harga bahan api itu kekal stabil.

“Kementerian Kewangan setiap minggu mengumum harga runcit pertoleum. Kerajaan juga akan memantau keadaan pasaran untuk memastikan kestabilan harga supaya kita dapat satu keadaan ekonomi yang stabil.

“Kami perlu melihat kepada pergerakan pasaran dunia dari segi harga minyak tetapi InyaAllah kerajaan akan berusaha untuk mengekalkan kestabilan harga,” katanya.

Setakat Isnin, kerajaan telah menyalurkan RM6 juta kepada 30,000 pemilik kenderaan diesel menerusi bantuan tunai RM200 bulanan BUDI MADANI.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini