comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kerjasama Cradle & Bursa Malaysia, dorong penyenaraian syarikat pemula

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) dan Bursa Malaysia bekerjasama untuk mendorong penyenaraian syarikat pemula tempatan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata kerjasama ini merupakan sebahagian daripada program Fund Funnel, di bawah MOSTI untuk menyelaras pilihan pembiayaan serta menawarkan sokongan dalam pembiayaan pembangunan
perniagaan, dari peringkat permulaan hingga ke peringkat tawaran awam permulaan (IPO).

“Program Fund Funnel dapat menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh usahawan pemula seperti kekurangan maklumat mengenai peluang pembiayaan daripada kerajaan, dalam masa yang sama, memberi penerangan tentang agensi-agensi kerajaan yang menawarkan pembiayaan bagi setiap peringkat,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) antara Cradle dan Bursa Malaysia.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke, berkata Cradle akan menyediakan maklumat tentang pasaran ekosistem syarikat pemula tempatan untuk membantu Bursa Malaysia mengenal pasti syarikat yang berpotensi untuk disenaraikan.

“Kerjasama ini dapat memperkasakan syarikat pemula serta melancarkan proses penyenaraian di Bursa Malaysia. Justeru, merapatkan jurang pembiayaan dalam ekosistem,” katanya.

Manakala , Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata Bursa Malaysia akan menganalisis data yang dikongsi oleh Cradle dan bekerjasama untuk menganjurkan program yang memberi tumpuan kepada akses pembiayaan.

“Selain itu, Bursa Malaysia akan menyokong Cradle dalam sesi perkongsian serta membantu usahawan startup memahami dengan lebih baik bagaimana pasaran ekuiti boleh menyumbang kepada pertumbuhan mereka,” jelas beliau.

Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan pesat syarikat pemulaan ekosistem di Malaysia. Memetik Laporan Ekosistem Syarikat Pemula Global 2023, ekosistem syarikat pemula Malaysia mencapai RM214.36 bilion pada separuh pertama 2020 hingga 2022.

Loading...
Terkini