
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Gentari Sdn Bhd, Amazon dan Amazon Web Services (AWS) akan bekerjasama melaksanakan inisiatif kemampanan dan penyahkarbonan dalam peralihan tenaga global yang dipercepatkan.
Menurut kenyataan bersama Petronas dan Gentari pada Rabu, kerjasama itu akan menyaksikan, antara lain, Gentari menyokong penyahkarbonan daripada rangkaian pengangkutan India oleh Amazon menerusi kerjasama dengan rakan kongsi perkhidmatan penghantaran pihak ketiga untuk mengelektrikkan lagi kenderaan pengangkutan mereka.
Amazon juga komited untuk menggunakan 10,000 unit kenderaan elektrik (EV) bagi kumpulan penghantaran India pada 2025 dan kerjasama itu turut melibatkan Gentari yang menyediakan EV dan perkhidmatan pengurusan pengangkutan untuk rakan kongsi perkhidmatan penghantaran pihak ketiga Amazon, jelasnya.
Amazon berhasrat untuk menilai penyelesaian bahan api alternatif dan rendah karbon Petronas untuk potensi penyepaduan dalam pelbagai bidang seperti mobiliti, penggunaan kuasa pegun dan pengurusan karbon.
Naib Presiden Kanan Pelaksanaan Projek dan Teknologi Petronas, Datuk Bacho Pilong berkata syarikat percaya usaha itu penting untuk menyokong peralihan Asia dan dunia ke arah tenaga yang lebih bersih.
“Kami menjemput rakan kongsi yang sehaluan untuk bergabung tenaga dalam memperkukuh ekosistem inovasi yang luas, yang boleh menangani pelbagai cabaran sepanjang perjalanan kita untuk merealisasikan masa depan yang mampan bersama-sama,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Sementara itu, Pengarah Urusan AWS Asean, Conor McNamara berkata syarikat itu sedang mempererat kerjasama dengan Petronas dan Gentari untuk menyokong matlamat bersama membina dunia yang lebih mampan melalui bimbingan kepakaran dan teknologi.
“Bersama-sama dengan Petronas dan Gentari, dan dengan wilayah AWS kami kelak di Malaysia, kami berharap dapat menyokong perniagaan dan komuniti untuk memajukan aspirasi iklim dan pendigitalan mereka dengan teknologi awan terkini dan pembangunan bakat,” katanya. – BERNAMA